Skip to main content

Filem

Honda Civic generasi pertama 100% gentian karbon.

mini-cooper-karbon-13.jpg

Sebuah Honda Civic generasi pertama dua pintu yang dipamer dalam pameran Art Of Speed (AOS) 2018 baru-baru ini, nampak biasa dan sama reka bentuknya seperti varian sejenisnya. 

Namun, jika diperhatikan secara teliti ada satu keunikan yang ada padanya biarpun mengekalkan keaslian komponennya. Jadi kenapa jentera itu dipamerkan di AOS?

Hanya satu, iaitu keseluruhan badan jentera itu dibaluti material khas iaitu gentian karbon. Nampak seolah-olah pelekat berbentuk gentian karbon yang membaluti jentera itu, tetapi ia adalah asli.

Segelintir pengunjung AOS pada hari berkenaan cuba menyentuh dan membelai jentera milik dua beradik dari Johor itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mazlan Chong dan Daniel Chong, bagi mengetahui keasliannya pada Honda Civic berkenaan.

Bermula bahagian bonet hadapan, pintu, dapra, kit badan dan bumbung semua dibina khas berasaskan komponen asal dan digantikan dengan material gentian karbon untuk dipadankan pada Civic generasi pertama milik pasangan adik-beradik itu.

Boleh dikatakan jentera itu hanya mengekalkan kerangka asal sahaja dan komponen gentian karbon dipasang di bengkel Scorpion Motor Sport di Johor.

Kelebihan gentian karbon itu sudah pastinya jentera lebih ringan berbanding asal dan memberi sedikit kelebihan dari aspek kelajuan.

Ditanya mengenai kos pembuatannya, ternyata ia tidak murah seperti yang penulis sangkakan.

Hanya yang berjiwa kental dan mengetahui kelebihan material itu sudah pasti tahu nilainya. Berikutan itu, pemiliknya tidak mahu mendedahkan bagi mengelakkan persepsi negatif umum.

Honda Civic keluaran 1977 itu masih mengekalkan enjin asal EB114 bersesaran 1,200cc yang menggunakan transimisi manual dengan lima kelajuan.

Prestasinya ada sedikit perubahan apabila menggunakan ekzos saluran terus binaan khas serta beberapa barangan tambahan untuk memastikan jentera itu mampu dipandu dengan sempurna.

Malah, lampu, meter kelajuan dan logo tulisan Honda Civic semuanya asli serta berjaya dikekalkan.

Beberapa aksesori lain turut ditambah bagi memberikan sedikit kelebihan dan bergaya seperti padanan kerusi Recaro, stereng Nardi dan Rim SSR 14 inci dengan balutan tayar Good Year 165/14/75.

 

Advertisement