Kalau di Malaysia, Honda Jazz menjadi kegilaan peminat kereta kompak untuk diubah suai supaya tampak lebih garang dan ranggi.
Ada yang menukar kit badan kepada aksesori JDM seperti Honda Fit, malah mengubahsuai enjin supaya lebih berkuasa.

Tetapi lain pula ceritanya bagi Honda Jazz di negara jiran kita ini. Jentera dari Thailand yang dipaparkan dalam ruangan modifikasi drebar.my ini adalah kenderaan untuk perlumbaan drag.
Honda Jazz atau Fit ini adalah keluaran 2014 tetapi sudah diubah suai pada tahap ekstrem selepas menerima sentuhan bengkel Tapoon Garage di Thailand.

Jentera kepunyaa Sai Jai, 30, ini dibina bengkel itu yang sebelum ini sudah pun mengeluarkan kereta lumba bagi perlumbaan drag.
Anda jangan pula terkejut bahawa pemilik jentera ini adalah wanita dan dia juga sebagai pemandu jika beraksi dalam perlumbaan drag.

Apa yang membuatkan jentera ini lebih ekstrem adalah selepas ia menggunakan enjin 1.5L turbo dengan padanan komponen turbo Garret GT3082R.
Selain menambah sistem turbo itu, beberapa komponen enjin turut ditukar untuk meningkatkan kuasa dan prestasinya.

Ia membabitkan penggunaan aci engkol (crankshaft) dan rod jenama MRX, manakala omboh menggunakan jenama Arias yang sememangnya kerap digunakan dalam jentera lumba.
Malah, sistem ambilan pula menggunakan jenama BRD dengan padanan Unit Kawalan Elektronik Link Fury.

Jika dilihat pada ruang enjinnya, ia kelihatan padat dan kemas dan menarik lebih-lebih lagi susunan sistem turbo itu.
Malah kuasa yang dibekalkan daripada enjin yang diubah suai itu sudah mencecah sehingga 600hp dengan bukaan boost 2.2 bar.

Uniknya, bonet hadapan menggunakan material lut sinar yang mana anda boleh melihat komponen enjin secara jelas.
Memandangkan jentera ini digunakan dalam perlumbaan drag, sudah pasti beban kenderaan dikurangkan pada tahap minimum.

Jadi dalam ruangan dalaman sudah dikosongkan kecuali mengekalkan papan pemuka, stereng dan tempat duduk bucket untuk pemandu. Pada masa sama ia turut dilengkapi kerangka keselamatan tambahan yang meningkatkan ciri keselamatan.
Sementara komponen luaran pula, anda boleh melihat pada bonet lut sinar dan but belakang gentian karbon.

Dapra sisi juga menggunakan material gentian karbon dengan padanan rim jenama Weld yang mana pada bahagian hadapan menggunakan tayar Toyo R1R, manakala Hoosier untuk belakang.
Bagi menyiapkan jentera ini, masa yang diperlukan kira-kira sebulan setengah dan kosnya pula mencecah RM50,000.

Baca juga artikel lain:
>>Honda Jazz GE enjin K Series.
>>Honda Jazz GE enjin standard, tetapi luaran memang gempak.