Skip to main content

Filem

Honda Prelude generasi terakhir

honda-prelude-modifikasi-2018-11.jpg

Jika berbicara model Honda Civic, Jazz atau Integra sebenarnya sudah biasa dan banyak kelihatan di jalan raya di negara ini.

Boleh dikatakan, budak-budak Honda ini juga mempunyai kelab dan komuniti masing-masing bagi menyatukan minat mereka bagi model yang disebut tadi.

Namun apa yang dipaparkan drebar.my dalam ruangan modifikasi kali ini, mungkin sangat berbeza.

Ini kerana model Honda Prelude BB6 yang dipaparkan boleh dikatakan sangat unik dan mungkin sukar di lihat di jalan raya biasa.

Honda Prelude adalah kenderaan dalam kategori sports coupe yang dibina antara 1978 sehingga 2001 untuk bersaing dengan model lain seperti Toyota Celica, Nissan Silvia dan Mitsubishi Eclipse.

Cuma pengeluarannya ditamatkan selepas Honda memperkenalkan Intergra DC5 pada peringkat global.

Apa yang anda lihat, ini adalah Honda Prelude generasi kelima keluaran tahun 1998 dan menjadi model terakhir bagi varian itu.

Jika dilihat secara luarannya, tidak banyak yang diubah dan masih kekal asli serta terjaga rapi dengan umur jentera sudah mencecah 20 tahun.

Pemiliknya yang mahu dikenali sebagai Ayim hanya menambah beberapa aksesori Type S supaya tampak garang dan bergaya. Ia membabitkan penambahan bampar depan dan belakang, spoiler, jeriji serta lampu sisi putih.

Bagi membuatkan ia rendah, Honda Prelude ini menggunakan suspensi boleh laras ketinggian Tein dengan keempat roda dihiasi rim Enkei RPF1 bersaiz 17 inci yang turut dibaluti tayar Bridgestone potenza RE003.

Ruang dalamannya juga masih lagi kekal asli, cuma ia kelihatan menarik dengan padanan kerusi bucket Recaro merah daripada model Intergra DC5.

Pelapik kakinya juga berwarna merah yang diambil dari model Honda Prelude Type S.

Jika membuka bahagian bonet hadapan, jentera ini masih menggunakan enjin 2.0 liter asal. Difahamkan enjin itu mampu menyalurkan sehingga 200PS.

Enjin ini masih lagi tidak diusik cuma sistem ekzos ditukar menggunakan komponen Mugen Twin Loop. 

Bagi kami, jentera ini mempunyai ciri yang unik lebih-lebih ia tampak bersahaja dan masih mengekalkan keasliannya.

Berbicara berhubung kos untuk ubah suai jentera ini, Ayim hanya melabur kira-kira RM15,000 dengan memerlukan 6 bulan untuk menyiapkannya.

Advertisement