Penyanyi Justin Bieber mengumumkan terpaksa menunda sekali lagi konsert jelajah dunia, Justice World Tour yang sudah dijadualkan bagi memberi perhatian kepada masalah kesihatan yang dihadapinya.

Menerusi kemaskini di Instagram, penyanyi itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas sahaja mengadakan konsert jelajah di Brazil dan mendapati persembahan tersebut memberi kesan kepada masalah kelumpuhan wajah yang menyerangnya sebelum ini.

“Awal tahun ini, saya telah umumkan yang saya sedang berlawan dengan penyakit sindrom Ramsay Hunt sehingga menyebabkan kelumpuhan wajah. Kemudian saya telah mengambil rehat dan menunda konsert jelajah, Justice World Tour.

“Bagaimanapun, selepas saya berehat atas nasihat doktor, saya telah menyambung semula siri jelajah konsert termasuk membuat enam persembahan di Eropah.

“Pada minggu lalu pula saya telah melakukan konsert di Brazil, malah saya memberikan segala yang saya ada pada persembahan tersebut sehingga ianya memberi kesan buruk kepada masalah kesihatan saya yang masih dalam tempoh pemulihan ini.

“Sehubungan dengan itu, saya ingin memaklumkan bahawa saya akan menunda siri jelajah saya buat sementara waktu, saya akan pulih tetapi memerlukan masa. Terima kasih semua,” kongsinya.

BACA: Wajah Lumpuh Sebelah, Justin Bieber Tunda Konsert – “ Virus Menyerang Saraf Telinga Saya”

Sementara itu, beberapa peminat di laman Twitter meluahkan rasa sedih mereka apabila pelantun lagu Peaches itu mengumumkan berita tersebut.

Difahamkan, masih terdapat kira-kira berbaki 70 tarikh lagi untuk siri jelajah Justice World Tour yang belum dijalankan termasuk persembahannya di Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

A post shared by Justin Bieber (@justinbieber)