Anggota kumpulan Super Junior, Choi Siwon memohon maaf sekali lagi berkaitan dengan kontroversi gigitan anjing peliharaan keluarganya yang mengakibatkan kematian seorang jiran dua tahun lalu.

Siwon membuat permohonan maaf itu ketika sesi sidang media drama terbarunya berjudul My Fellow Citizens baru-baru ini.

“I sedar yang saya perlu lebih berhati-hati dalam apa jua perkara yang membabitkan nama saya.

“Dengan rendah diri, saya ingin memohon maaf sekali lagi kerana menyebabkan kerisauan kepada banyak pihak,” katanya.

My Fellow Citizens merupakan kemunculan Siwon dalam dunia lakonan selepas dua tahun tidak aktif berikutan kontroversi yang melanda dirinya.

Terdahulu, anjing peliharaan yang diberi nama Bugsy itu telah mengakibatkan kematian seorang jiran pada Oktober 2017

Difahamkan anjing itu tidak diikat dan tiba-tiba bertindak agresif dengan menggigit kaki jirannya ketika keluar daripada lif kediaman mereka.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang wanita lingkungan usia 50 tahun itu terus dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada luka tersebut.

Sumber: Soompi