Laman Utama
I Tanggang, Anak Yang Derhaka Atau Ibu Yang Durjana?
Ibu seorang manusia. Anak juga seorang manusia biasa. Tidak kira sama ada siapa yang lebih dewasa atau masih remaja, jika sudah namanya manusia, tidak akan ada yang sempurna.
Berbuat salah, mempunyai nafsu tak terkawal demi kepentingan peribadi adalah sifat manusia biasa.
Namun adakah jatuh derhaka sang anak jika seorang ibu bersikap durjana?
Itulah yang dipersembahkan dalam naskhah terbaharu yang akan mengisi slot di Astro Citra bermula 13 September 2021 mendatang.
Diberi judul I Tanggang, banyak mesej dan soal realiti kehidupan dalam karya yang diarahkan oleh empat pengarah berwibawa iaitu Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak.
Dipaparkan dalam 12 episod, karya dengan genre family crime drama ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Sherie Merlis sebagai Erma, Faizal Hussein (Rahmat), Danish Hazriq (Khalil), Nadhir Nasar sebagai Syafiq serta Emma Sofea selaku Esra.
Konflik dalam I Tanggang turut dikuatkan dengan penampilan Sofia Jane (Dr Nini), Andy Teh (Dr Norman), Rosdeen Suboh, Zarina Zainuddin, Wan Raja, Emelda Rosemila, Rashid Salleh, Rashidi Ishak dan Syed Nahar.
Perhatian! I Tanggang bukan sebuah naskhah klise kerana dalam setiap plot penuh kejutan yang memicu adrenalin anda lewat babak babak yang mencengkam. Perasaan marah, benci akan bercampur kasihan, sedih dan mungkin empati. Namun jangan terlarut dengan helah kerana pada pengakhiran, apa yang terjadi cukup menginsafkan.
Pendek kata, I Tanggang adalah sebuah persembahan psiko yang bikin sakit hati ditonton, tetapi rugi besar dilepaskan.
Secara ringkasnya, I Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay merupakan seorang social media influencer, penulis buku dan penjual essential oil yang berjaya.
Pada majlis pelancaran bukunya, Erma membuat pengumuman yang Khay hanya ada masa enam bulan untuk hidup. Berita ini sangat mengejutkan Khay. Adakah dia betul-betul akan mati dalam masa enam bulan? Rahmat, ayah kepada Khay dan Dr Nini, salah seorang bekas doktor Khay juga meragui berita tersebut.
Setelah sekian lama tidak berjumpa dengan Khay, Rahmat dan Khay akhirnya bertemu di majlis pelancaran buku Erma. Rahmat tidak dapat bertemu dengan Khay selepas Erma memutuskan hubungan antara mereka dan menghilang.
Risau dia akan kehilangan Khay sekali lagi, Rahmat menghadiahkan sebuah telefon bimbit pada Khay tanpa pengetahuan Erma. Menggunakan telefon tersebut, Khay berjumpa dengan dua rakan dalam talian, Royal E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) dan menubuhkan group chat bernama I-Tanggang.
Apakah yang akan terjadi seterusnya dalam naskhah yang diproduksi oleh KL Motion Pictures ini?
Tunggu dan jangan sampai terlepas menyaksikan I Tanggang bermula 13 September depan pukul 9 malam di Astro Citra kerana dalam naskhah ini, kita akan mengenal kalau yang namanya manusia, nafsu liar tidak mengenal tua atau muda.
Must-Watch Video