Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan pengarah tersohor Mamat Khalid telah menemui penonton bermula15 April yang lalu.

Filem kali ini dijayakan oleh Bell Ngasri yang membawa watak sebagai Barkoba, penduduk Kampong Pisang yang merupakan ‘geng plastik hitam’ tegar sejak 16 dan 17 puasa.

Memetik laporan Harian Metro, Bell meluahkan rasa syukurnya apabila watak Barkoba diterima baik oleh penonton.

“Disebabkan Barkoba yang saya lakonkan sejak 16 Puasa dulu, setiap kali Ramadan, wajah saya akan jadi 'muka orang tak puasa' yang disebarkan menerusi media sosial.

“Namun, ia hanyalah lakonan sahaja. Saya tidaklah berperangai seperti Barkoba kerana saya berpuasa penuh. Saya tak sangka watak itu boleh buat orang suka tengok dan diterima baik.

“Saya pelik juga bila lihat orang suka sangat dengan watak Barkoba ini hingga tular di media sosial. Apapun, saya amat berterima kasih dengan pengarah, Mamat Khalid kerana memberikan saya watak berkenaan," ujar Bell.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.