Ibu kepada pelawak Allahyarham Abam Bocey dan Ali Puteh meninggal dunia di Hospital Selayang pada tengah malam semalam (Khamis).

Allahyarham Sabariah Arshad, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira jam 11.54 malam.

Wakil keluarga Ali Puteh, ketika dihubungi Gempak berkata Allahyarham dimasukkan ke zon kritikal (zon merah) pada Selasa lalu kerana serangan asma.

Allahyarham juga telah ditidurkan dan menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Ali dan adik lelakinya sedang menuju ke hospital untuk urusan membawa jenazah pulang ke rumah, manakala kakak dan isteri Ali tinggal di rumah untuk menguruskan apa yang patut.

“Urusan lain seperti memandikan jenazah dan pengebumian belum diketahui infonya,” kata wakil tersebut.

Allahyarham pada Disember tahun lalu pernah dimasukkan ke hospital sama kerana serangan asma dan menggunakan alat bantuan pernafasan.

Gempak akan cuba menghubungi Ali dari semasa ke semasa untuk perkembangan lanjut.

Takziah dari Gempak buat Ali sekeluarga.