Bayi berusia sembilan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang telah selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya semakin menunjukkan perkembangan positif.

Menerusi video terbaru yang dikongsi oleh ibunya, Ainul sudah pandai menghisap jari sambil melihat ke kiri dan kanan.

Menurut ibunya lagi, Nurul Erwani Zaidi, 24, dia teruja melihat perkembangan yang berusia sembilan bulan itu selepas menjalani pembedahan Isnin lalu.

“Sebelum masuk ke wad biasa hari ini (semalam), sempatlah Ainul jalan-jalan dalam hospital.

“Seronok lihat Ainul Mardhiah hisap jari sambil melihat kiri dan kanan,” luah Nurul Erwani menerusi status di Instagram (IG) miliknya.

Malah perkongsian itu telah mendapat hampir 200,000 tontonan dan turut membuatkan netizen terharu.

Ainul kini ditempatkan di The Imperial Collage Healthcare NHS, London, tempat yang sama dia dibedah.

Sejumlah 200 gram ketumbuhan berjaya dikeluarkan daripada mulutnya oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.