Laman Utama
Ibu Hidap Kanser Payudara, Afiq Muiz Ambil Keputusan Untuk…
Tidak hanya kehilangan abang, pelakon Afiq Muiz turut mendedahkan yang ibunya, Hasliza Mohd kini disahkan menghidap kanser payudara.
Menurut Afiq, disebabkan hal itu, dia mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu daripada dunia lakonan bagi menjaga ibu serta anak buahnya.
“Secara jujur, kekuatan saya datangnya daripada emak dan anak buah. Abang saya baru sahaja meninggal dunia. Jadi, saya bertanggungjawab untuk menjaga anak kepada arwah abang saya.
Advertisement
“Dalam masa sama juga emal saya hidap kanser payudara… dia baru jalani pembedahan sekitar tiga minggu lalu. Sebenarnya, ramai yang tak tahu mengenai perkara ini selain saya dan adik beradik lain.
“Buat masa ini, saya tak ambil mana-mana tawaran sebab saya perlu jaga mak saya walaupun sudah hampir sebulan dia jalani pembedahan,” katanya.
Sungguhpun berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam hidup, Afiq mengakui situasi tersebut banyak mendewasakan dirinya.
“Kehidupan kita memang ada ujian. Kita kena kuat hadapi ujian yang ada dalam dunia. Saya tak rasa saya gagal dan saya harap ini adalah jalan terbaik buat saya,” katanya lagi.
Afiq berkongsi perkara tersebut selepas selesai prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh oleh Pachara di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, di sini, petang tadi.
Pada masa sama, Afiq turut memaklumkan dia memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya, Pachara atas dakwaan menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.
Mahkamah di sini kemudiannya menetapkan 4 Julai sebagai tarikh baharu bagi sebutan tuntutan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, manakala prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh oleh Pachara disambung ada 13 Julai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, di sini.
Pachara difahamkan memfailkan permohonan fasakh terhadap Afiq pada Oktober tahun lalu. Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum Syarak.
Selain itu, Pachara turut membuat laporan polis pada 14 Mei 2021 lalu atas dakwaan Afiq menampar bahagian mukanya sebanyak lima kali, selain menendang perut dan menumbuk bahagian dagu sebanyak dua kali.
Pada November tahun lalu, media melaporkan Afiq membuat laporan polis berhubung dakwaan isterinya yang dianggap fitnah.
Afiq dilapor menyerahkan kepada peguam untuk tindakan susulan berhubung tuduhan kaki pukul dilemparkan wanita terbabit.
Sebelum ini, Pachara yang berasal dari Ranau, Sabah memuat naik kenyataan dalam Facebook (FB) dan TikTok mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki dan jarinya patah.
Kenyataan itu mendapat komen balas adik Afiq, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam media.
Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di lokasi penggambaran drama Air Mata Syurga.
Must-Watch Video