BERITA
Ibu Remaja Maut Dirempuh Honda Jazz Reda Pemergian Anak - “Saya Tak Mahu Seksa…”
bu kepada mangsa ketiga yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1, Nurha’afza Salwa Hazizan meluahkan rasa reda dengan pemergian anaknya, Aisar Azim Abdullah selepas beberapa hari bertarung nyawa.
Menurutnya, dia telah pun bersedia sebaik sahaja doktor memaklumkan bahawa anak ketiganya itu dalam keadaan kritikal.
"Saya dapat kekuatan sebabnya malam tadi doktor dah beritahu denyutan jantung dia dah turun sampai 38.
"Saya dah cakap dengan dia, saya tak mahu seksa dia lagi dan dah halalkan susu dan ampunkan dosa dia".
"Saya dan anak-anak datang ke hospital untuk bacakan surah Yasin. Apa yang jadi, saya reda," katanya ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah pada Selasa.
Ujar Nurha’afza, kali terakhir dia berjumpa dengan Allahyarham adalah pada malam Rabu ketika Allahyarham pulang ke rumah selepas berjumpa dengan rakan-rakannya.
Memetik laporan Sinar Harian, Nurha’afza turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang anak pendiam, namun rapat dengan adik-adiknya.
"Dengan dia susah (jumpa), sebab saya kerja pagi dan balik malam. Dia hanya telefon saya saja kalau nak apa-apa dan banyak dengan adik-adik.
"Bila Allahyarham disahkan meninggal, saya tengok mukanya tenang saja dan bersih saja walaupun ada calar, macam dia tengah tidur," katanya.
Dalam pada itu katanya, keluarga tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemandu Honda Jazz yang menyebabkan kemalangan tersebut.
"Setakat ini kita memang akan ambil tindakan. Sekarang anak saya dah meninggal dan kawan dia pun dah meninggal dua orang, kita akan lawan sehabis mungkin.
"Kita memang dah ada peguam yang hubungi nak tawarkan khidmat guaman," tambahnya.
Sementara itu, abang Allahyarham, Mohammad Aiman Abdullah, 20, tidak menyangka keengganan Allahyarham untuk membeli baju raya merupakan petanda dia akan pergi selama-lamanya.
Katanya, Allahyarham membeli alasan yang dia hanya mahu tidur saja di rumah.
"Dia cakap alang tak mahu raya sebabnya nak duduk rumah saja tidur sedangkan selama ini dialah yang paling teruja berkenaan beli baju raya sedondon," katanya.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan jam 12.40 tengah malam selepas disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar jam 7.23 malam.
Arwah Aisar merupakan mangsa ketiga dalam kemalangan membabitkan rempuhan sebuah Honda Jazz terbabit yang maut.
Dua rakannya yang naik motosikal Modenas Kriss iaitu berusia 15 dan 16 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din sebelum ini dilaporkan berkata, Honda Jazz berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, kenderaan itu dikatakan gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum dipercayai merempuh dua motosikal yang turut menyebabkan seorang penunggang dan seorang pembonceng parah.
Must-Watch Video