Laman Utama
Ikhram Juhari Sanggup ‘Seksa’ Diri & Berhabis RM200 Sehari Buat Badan Demi Watak Tentera Askar Dalam Malbatt: Misi Bakara
Pelakon filem Malbatt: Misi Bakara, Ikhram Juhari mededahkan dia sanggup ‘menyeksa’ dirinya untuk mendapatkan bentuk badan yang sesuai dengan watak yang dilakonkan dalam filem berkenaan.
Jelas Ikhram, 30, dia mengambil masa lebih kurang dua bulan lebih untuk mendapatkan fizikal yang sesuai dengan watak seorang tentera askar yang dibawanya iaitu Lans Koperal Wahid.
“Rutin saya sebelum penggambaran bermula adalah bersenam di gimnasium, bersauna dan berjemur badan demi mendapat kulit yang gelap, saya buat badan memang untuk watak askar dalam filem ini.
“Pagi saya akan makan telur rebus dalam lima hingga enam biji, tengah hari dan petang pula saya makan ikan rebus atau talapia goreng. Sehari saya habis dalam RM200 untuk makanan sahaja.
“Saya tidak boleh mengambil karbohidrat kerana akan menyebabkan perut buncit, sebab itu sebelum dan semasa penggambaran memang saya amat menjaga pemakanan,” katanya.
Ikhram ditemui usai majlis sidang media dan pelancaran filem tersebut yang bertempat di Hotel Berjaya Time Square, Kuala Lumpur minggu lalu.
Terdahulu, pelakon itu mendedahkan akan menayangkan ototnya dalam filem berkenaan biarpun sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak menayangkan anggota badan dalam mana-mana drama atau filem yang dibintanginya.
Selain Ikhram, filem Malbatt: Misi Bakara turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Adlin Aman Ramlie, Bront Palare, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Dafi Ismail Sabri, Safwan Nazri, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi dan Theebaan G.
Filem Malbatt Misi Bakara yang diangkat daripada kisah benar perang saudara di Somalia pada tahun 1993 itu bakal menemui penonton Malaysia pada Ogos tahun hadapan.
Must-Watch Video