Laman Utama
Pernah Cakap Tak Nak Tayang Badan, Ikhram Juhari Tarik Balik Kata-Kata Demi Kerja! - "Saya Fikir Banyak Kali..."
Pelakon Ikhram Juhari mendedahkan bakal menayangkan otot dalam filem terbaharu lakonannya, Malbatt: Misi Kembara yang akan ditayangkan tahun hadapan.
Jelas Ikhram, 30, biarpun sebelum ini dia pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak menayangkan anggota badannya untuk tontonan umum, namun hal itu ‘terpaksa’ dilakukan disebabkan tuntutan kerja.
Malah, dirinya turut bersedia menerima kecaman yang akan dilemparkan oleh netizen seandainya ada yang mempersoalkan tentang hal itu.
“Betul saya pernah keluarkan statement sebelum ini kata tak mahu tayang badan, tapi sekarang saya tayang juga badan saya.
“Sejujurnya, saya berfikir banyak kali sebelum memutuskan untuk tayang badan. Namun, saya hanya buat untuk filem sahaja dan hal itu adalah perlu dalam filem tersebut.
“Untuk saya, ini atas urusan kerja bukan sesuka hati untuk menayangkan badan saya untuk tontonan orang ramai.
“Saya juga dah bersedia untuk terima kecaman daripada netizen disebabkan statement yang saya keluarkan sebelum ini,” ujarnya.
Ikhram ditemui usai majlis sidang media dan pelancaran filem tersebut yang bertempat di Hotel Berjaya Time Square, Kuala Lumpur minggu lalu.
Selain Ikhram, filem Malbatt: Misi Bakara turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Adlin Aman Ramlie, Bront Palare, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Dafi Ismail Sabri, Safwan Nazri, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi dan Theebaan G.
Terdahulu, Gempak melaporkan Filem Malbatt Misi Bakara yang diangkat daripada kisah benar perang saudara di Somalia pada tahun 1993 itu bakal menjadi filem termahal dalam sejarah filem tempatan apabila kos pembikinan dianggarkan berjumlah RM20 juta.
Must-Watch Video