Laman Utama
“Ikut Dialah Kalau Rasa Lagu Ini Tentang Dia” - Vida Balas Balik Kenyataan Iqbal Yang Anggap Ku Ikhlaskan Tentang Dirinya
Tidak sampai beberapa hari diterbitkan, video muzik Ku Ikhlaskan daripada usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida telah meraih lebih satu juta tontonan.
Hal ini tidak hanya menggembirakan hati tuan empunya badan, malah Vida berharap agar semua yang menonton dapat menerima mesej yang ingin dia sampaikan.
“Saya bersyukur sangat atas penerimaan luar biasa daripada fans dan penggemar muzik, tak kurang yang baru mengenali saya.
“Sebagai contoh, jika ada yang buat parodi sekalipun, saya harap mesej yang ingin saya sampaikan diterima penonton dan pendengar. Ia boleh diibaratkan seperti climax of the soul iaitu reda dan ikhlas. Tapi kalau saya buat direct tentang mesej itu nanti jadi lagu nasyid pula,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Semalam, Gempak ada bertanya pendapat Iqbal tentang video muzik Ku Ikhlaskan. Selain memuji kualiti yang dipersembahkan, Iqbal turut mengakui yang lagu tersebut ditujukan untuknya.
Selain itu, Iqbal juga memberitahu yang gambarnya yang telah dipangkah ada dipapar dalam salah satu babak video muzik berkenaan.
Menjawab semula kenyataan Iqbal, Vida menegaskan, keadaan set yang agak sibuk menyebabkan dia tidak perasaan tentang gambar yang telah disediakan oleh kru yang menjaga props.
“Itu props punya kerja… Disebabkan jadual penggambaran yang sibuk, jadi mungkin saya sendiri tak perasaan sangat. Dan dalam babak itu mungkin kelibat gambarnya ada beberapa saat saja.
“Tentang lagu ini kononnya dibuat untuk Iqbal, ikut dialah kalau rasa lagu ini tentang dia. Sebab satu Malaysia pun dah tahu tentang cerita kami jadi saya tak boleh menafikan perasaan dia,” katanya lagi.
Berkenaan dengan niatnya untuk memberi sedekah kepada mereka yang memerlukan sempena dengan pelancaran video muzik berkenaan, Vida berkata: “Saya sendiri tidak faham kenapa saya dilabel sebagai penunggang agama sedangkan saya mahu memberi kepada mereka yang memerlukan.
“Tambahan pula Ramadan kan dah dekat. Jadi, saya akan gunakan sumbangan yang dikumpul untuk disedekahkan kepada tahfiz dan beberapa tempat lagi untuk kegunaan bulan puasa,” kongsinya.
Dalam pada itu, Vida juga menyatakan hasratnya untuk menerbitkan lagu pada masa akan datang.
“Perancangan itu ada, tapi tak naklah lancarkan lagu secara kerap. Seperti lagu I Am Me, saya ambil masa yang agak lama untuk lancarkan single seterusnya.
“Apa yang penting, saya harap video Ku Ikhlaskan bakal menjadi karya yang ikonik dan malar segar,” tutupnya.
Must-Watch Video