Terkini
Individu Ini Jual Koleksi Hotwheels Kesayangan Untuk Beli Kit Solat Bagi Kegunaan Surau, Masjid
Pencipta kandungan Eky Ekmarl Che Det atau lebih dikenali sebagai CEO Rakyat sanggup menjual barangan peribadi dan koleksi mainan seperti Hotwheels kesayangannya untuk berkongsi rezeki dalam Ramadan ini.
Memetik laporan Harian Metro, Eky Ekmarl, 44, berkata, hasil jualan barangan kesayangannya itu digunakan untuk membeli kain pelikat, sejadah dan Al-Quran yang dijadikan kit solat untuk disedekahkan kepada surau juga masjid.
Kit solat
Kit solat tersebut kemudiannya diagihkan di surau serta masjid di lapan negeri seluruh negara termasuk Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Kedah serta masjid di Perak, Kelantan, serta Kuala Lumpur.
"Bulan puasa ini, orang lain meluangkan diri dengan baca al-Quran dan jujurnya saya tak pandai sangat membaca Al-Quran kerana sedang belajar.
"Jadi, saya ambil inisiatif tunggang motosikal dan agihkan kit solat dengan harapan ia dapat digunakan imam juga jemaah surau serta masjid.
"Ini tahun kedua saya agihkan kit solat dan ia adalah kesinambungan usaha yang pertama pada 2022," katanya.
Tambah Eky, sebab utama dia menjual barangan peribadi adalah disebabkan enggan membebankan sesiapa ketika mahu merealisasikan hasratnya.
Tak suka meminta
"Saya tak suka meminta-minta untuk sumbangan jadi nekad jual koleksi mainan serta Hotwheels yang ada di rumah.
"Selebihnya saya jual koleksi kasut yang tak digunakan kerana simpan banyak barang di rumah tanpa gunakan pun berdosa dan enggan disoal nanti. Tapi ada juga orang nak sedekah duit dan Al-Quran kerana niat untuk infaq.
"Usaha ini tidak terhenti di sini kerana saya turut gerakkan pada bulan selain Ramadan menerusi bantuan untuk orang kurang berkemampuan, mangsa bencana dan lain-lain yang memerlukan ," katanya.
Sumber: Harian Metro
ARTIKEL BERKAITAN: Miliki Kereta Pertama, Ramai Puji Amir Jahari Tak Beli Jenama Mewah - “Sederhana Itu Nyaman”
ARTIKEL BERKAITAN: Sudah Bertudung, Norreen Akui Masih Sama Seperti Dulu - “I Still The Same Me”
Must-Watch Video