Berita

Ini 6 Perkara Menarik Mengenai Konsert Rock Tri-O

gempak
Kamaruddin Razal
19/11/2019
01:25 MYT
Sponsor Banner
Ini 6 Perkara Menarik Mengenai Konsert Rock Tri-O
Memang padu dan memukau!
Itu yang boleh diperkatakan mengenai Konsert Rock Tri-O yang menggabungkan tiga penyanyi rock terkenal, Datuk Hattan, Hazama dan Azlan Typewriter.
Berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur minggu lalu, konsert tersebut ternyata membawa penonton merasai satu lagi pengalaman baharu apabila mengetengahkan konsep rockestral iaitu rock versi orkestra.
Diiringi barisan pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), konsert selama kira-kira dua jam itu dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose.
Berpeluang menyaksikan paduan suara ketiga-tiga artis rock tersebut pada Sabtu lalu, berikut 6 perkara menarik mengenai konsert tersebut:
1. Segmen solo dengan lagu signatur
Memandangkan konsert ini menggabungkan tiga nama, durasi masa bagi setiap persembahan artis jua sememangnya agak terhad.
Bagaimanapun, ternyata playlist yang dibawakan dalam segmen solo yang ditampilkan pada malam itu sudah cukup menggamit memori audiens dengan karya signatur masing-masing.
Seperti biasa, Datuk Hattan berjaya mencuri perhatian audiens dengan lagu-lagu malar segarnya, Memburu Rindu, Biso Bonar dan Gerhana.
Manakala, Hazama membawakan dua lagu hitsnya iaitu Peneman dan Relakan Jiwa sementara Azlan dengan karya agungnya, Lagu Untukmu.
2. Ada lagu rock Inggeris lah!
Tidak sekadar menyanyikan lagu sendiri, konsert tersebut juga mengetengahkan seleksi lagu-lagu rock Inggeris popular sekitar 1970-an hingga 1990-an.
Antaranya lagu Stairway To Heaven yang dipopularkan oleh Led Zeppelin, Smells Like Teen (Nirwana) dan Use Somebody (Kings Of Leon) yang dibawakan dengan gaya tersendiri oleh Azlan.
Hazama pula menyajikan penonton dengan paduan suaranya membawakan medley Zombie dan What's Up?
3. Dedikasi untuk Sweet Charity
Bagi penggemar muzik rock, lagu-lagu band Sweet Charity yang ditubuhkan pada 1967 bukanlah satu yang asing buat mereka.
Sebagai tanda ingatan, satu segmen dedikasi khas buat legenda rock itu dipersembahkan kepada penonton.
Segmen dedikasi itu disampaikan sendiri oleh Hazama secara solo dengan seleksi medley lagu-lagu popular band yang pernah menampilkan Datuk Ramli Sarip selaku vokalis itu.
Medley tersebut menggabungkan lagu Sejuta Wajah, Hilang Gelap Terbitlah Terang dan Kamelia yang digubah dalam bentuk simfoni oleh Genervie Kam.
4. Nyanyi rock dalam persalinan sut!
Penampilan seorang rocker itu lazimnya lebih santai. Barangkali, menggayakan seluar jeans dan baju-T ketika beraksi di atas pentas sudah sempurna bagi mereka.
Bagaimanapun, pada malam itu, penampilan mereka agak berlainan sedikit. Mereka tampil dengan persalinan yang lebih kemas dan elegan.
Memang tampak macho apabila Azlan dan Hazama sendiri mengayakan sut dalam persembahan mereka sehingga diusik oleh Datuk Hattan "nyanyi rock tapi pakai tuxedo".
Datuk Hattan pula tampil sedikit berbeza apabila bergaya dengan jaket kot labuh dengan padanan seluar potongan skinny. Gaya muda habis, sampai mungkin ada yang lupa beliau dah berusia 54 tahun.
5. Penonton diajak menyanyi sama
Memandangkan konsert diadakan di DFP, sudah pasti suasana menyaksikan persembahan rock tidak seperti di pentas-pentas lain di luar sana.
Di segmen pertama, penonton dan penyanyi agak sedikit 'keras'. Barangkali memikirkan ada protokol dan peraturan yang perlu dipatuhi sesuai dengan imej pentas berprestij tersebut.
Namun, masuk segmen kedua, penyanyi mula berinteraksi dan berseloroh dengan penonton. Kemuncaknya apabila Datuk Hattan sendiri mengajak audiens menyanyi beramai-ramai selepas merasakan agak janggal apabila persembahan rock dalam suasana sepi!
Ternyata, itulah yang dinanti-nantikan penonton apabila diajak mendendangkan lagu bersama-sama. Lebih melucukan, Datuk Hattan turut menukar bait lirik lagu Gerhana dengan 'Petronas' dalam nyanyiannya sebagai simbolik lokasi Dewan Filharmonik Petronas!
6. Ingatkan habis dah, muncul balik, belanja lagi lagu!
Selepas menamatkan persembahan medley terakhir, ketiga-tiga mereka termasuklah konduktor keluar pentas mengundurkan diri.
Namun, satu kejutan berlaku apabila ketiga-tiga mereka muncul kembali ke pentas yang kemudian menerima tepukan penonton yang teruja.
Nah, empat lagu yang mereka belanja, iaitu Fantasia Bulan Madu, Biru Mata Hitamku, Sentuhan Kecundang dan Pawana! Ternyata memang puas hati.
Foto: Dewan Filharmonik Petronas
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live