Bagi penggiat industri muzik antarabangsa, semestinya debaran dan bahang semakin terasa menantikan detik berlangsungnya majlis berprestij, Anugerah Grammy 2020.

Kurang 48 jam lagi, segala tanda tanya mengenai siapakah gerangan yang bakal dinobatkan sebagai pemenang bakal terjawab.

Bersempena dengan pengajurannya esok, hari ini Gempak bawakan kepada anda beberapa fakta menarik mengenai Anugerah Grammy.


#1 Trofi Grammy Seberat 2.27 Kilogram



Menggenggam trofi Grammy memang menjadi impian setiap insan yang berkecimpung dalam industri muzik.

Mungkin ramai yang sudah maklum, trofi berkenaan mempunyai rekaan bentuk seperti gramofon atau alat pemain piring hitam.

Penghasilannya dibentuk menggunakan sejenis bahan yang dipanggil grammium yang merupakan campuran bahan aloi besi alumnium dan zink.

Trofi tersebut mempunyai berat lebih kurang 5 pound atau bersamaan 2.27 kilogram seunit dengan ketinggian 23 sentimeter selain disadur dengan emas 24-karat.


#2 Disiarkan Pertama Kali Pada 1971

Anugerah Grammy pertama diadakan pada 4 Mei 1959. Bagaimanapun, pada ketika itu, majlis berprestij yang diadakan di Beverly Hilton, Los Angeles, Amerika Syarikat itu tidak disiarkan di kaca televisyen.

Majlis pengiktirafan buat pengkarya industri muzik itu hanya disiarkan secara langsung untuk tontonan umum buat pertama kali pada 1971.

Ketika itu, Anugerah Grammy sudah masuk penganjuran kali-13 yang dibawakan secara langsung dari Hollywood Palladium, California.




#3 Presiden Amerika Syarikat Menang Grammy



Dalam sejarah penganjuran Anugerah Grammy, seramai tiga individu yang pernah memegang jawatan presiden Amerika Syarikat memenangi trofi tersebut.

Beliau ialah Jimmy Carter, Bill Clinton dan Barack Obama.

Obama sendiri pernah memenangi sebanyak dua kali bagi kategori Best Spoken Word Album pada 2006 dan 2008.


#4 Georg Solti, Lelaki Paling Banyak Menang Grammy



Pemuzik, Georg Solti merupakan lelaki yang paling banyak memenangi Anugerah Grammy iaitu sebanyak 31 kali.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia muzik, mendiang Georg banyak menyumbang jasanya sebagai pengarah muzik di Orkestra Simfoni Chicago lebih 20 tahun.

Pada tahun 1996, mendiang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman Grammy iaitu setahun sebelum dia meninggal dunia pada usia 84 tahun.


#5 Alison Krauss, Wanita Paling Banyak Menang Grammy



Penyanyi Alison Krauss merupakan artis yang paling banyak memenangi Anugerah Grammy iaitu sebanyak 27 kali.

14 daripadanya diperoleh ketika dia bersama band Union Station.

Trofi pertama yang dibawa pulang artis country tersebut ialah ketika penganjuran Anugerah Grammy ke-33 pada tahun 1991.

Pada tahun 2009, Alison pernah merangkul sebanyak lima trofi Grammy menerusi pencapaiannya dalam album berjudul Raising Sand.


#6 Eddie atau Grammy



Sebelum memilih untuk menamakan majlis pengiktirafan ini sebagai Grammy, antara nama lain yang terlintas sewaktu proses pemilihan nama anugerah tersebut ialah Eddie.

Perkara itu dikongsikan salah seorang pengasas Anugerah Grammy, Paul Weston yang juga merupakan eksekutif Columbia Record pada tahun 1957.

Katanya, nama Eddie pernah dicadangkan untuk digunakan bersempena dengan nama pencipta terkenal, Thomas Edison yang pada masa itu digelar sebagai 'bapa' Gramofon.


#7 LeAnn Rimes Artis Termuda Pernah Menang



Penyanyi LeAnn Rimes merupakan artis solo termuda yang pernah memenangi Anugerah Grammy yang mana ketika itu usianya baru 14 tahun.

Pada masa itu, LeAnn diangkat sebagai Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal (Country) Wanita Terbaik pada tahun 1997.

Sekaligus, dia menjadi artis solo paling muda pernah memenangi trofi dalam sejarah penganjuran Anugerah Grammy.



Foto: Google