Berita

Ini 7 Negeri Yang Tidak Laksana Atau Tangguh PKPB

gempak
Kamaruddin Razal
03/05/2020
23:47 MYT
Sponsor Banner
Ini 7 Negeri Yang Tidak Laksana Atau Tangguh PKPB
Pada Hari Pekerja lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi hari ini.
Memetik laporan Astro Awani, antara sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah makanan, sukan dan rekreasi, pengangkutan, pembuatan, peruncitan, minyak dan gas.
Bagaimanapun, tidak semua negeri akan menguatkuasakan PKPB pada Isnin kerana ingin membendung penularan jangkitan COVID-19 selain memastikan rakyat masing-masing tidak terdedah dengan jangkitan tersebut.
Berikut tujuh negeri yang menangguhkan dan tidak akan melaksanakan PKPB:
1) Kedah
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan meneliti syarat dan garis panduan PKPB yang diumum Kerajaan Persekutuan bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri itu.
"Oleh itu pelaksanaan di bawah PKPB ditangguhkan di Kedah sehingga keputusan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas COVID-19) pada 5 Mei ini," katanya.
2) Sarawak
Kerajaan Negeri Sarawak juga memutuskan untuk tidak mengikut langkah Kerajaan Persekutuan untuk membuka semula ekonomi pada Isnin ini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira keadaan negeri dahulu sebelum membuat keputusan.
3) Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, Negeri Di Bawah Bayu itu mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei ini.
"Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus itu.
4) Selangor
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tidak semua industri akan dibenarkan beroperasi pada Isnin ini.
Katanya, beliau akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan cara penguatkuasaan dan garis panduan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.
“Di peringkat kerajaan negeri, kita tidak mahu ‘crash landing’ dengan erti kata lain, kita akan cuba melihat peringkat demi peringkat dan saya akan bertanya dan melihat kesiapsiagaan PBT," katanya.
5) Negeri Sembilan
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, langkah kawalan ketat masih diperlukan memandangkan kes baharu COVID-19 terus dicatat di Negeri Sembilan.
Kata beliau, memandangkan kes baharu COVID-19 di Negeri Sembilan masih berlaku dan untuk tujuan pengawalan, Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan beberapa syarat dan peraturan.
"Hanya sektor ekonomi dibenarkan boleh beroperasi manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB," katanya.
6) Pahang
Kerajaan Negeri Pahang pula akan menangguhkan pelaksanaan PKPB sehingga keputusan dicapai pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, Jumaat ini.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat mingguan ini, segala ketetapan yang dibuat pada PKP sekarang, masih kekal.
"Seperti semua maklum, negeri Pahang kini mempunyai kluster baharu. Jadi, tumpuan khusus dan utama perlu dilakukan bagi menanganinya," katanya dalam kenyataan.
7) Kelantan
Seterusnya, Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Negeri Kelantan akan diadakan pada Khamis ini bertujuan menyesuaikan keperluan PKPB dengan rakyat di negeri tersebut.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga keputusan diambil di dalam jawatankuasa tersebut, semua ketetapan (PKP) yang dibuat sebelum ini adalah masih terpakai dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.
“Kemaslahatan rakyat adalah merupakan keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.
Sumber: Astro Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024