Aplikasi navigasi Google Maps tampil dengan ciri baru apabila menyediakan maklumat bervisual dan amaran bencana alam.

Menerusi laman web Digital Trends, pengguna kini boleh melihat secara terperinci visual bencana alam seperti ribut, banjir atau gempa bumi sekali gus menghindari mereka daripada berkunjung ke lokasi yang berpotensi ditimpa musibah.

Difahamkan, ciri baru dinamakan amaran SOS itu turut menyediakan ringkasan insiden beserta berita-berita terkini, nombor kecemasan untuk dihubungi dan laman web pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Malah, pengguna yang tinggal berhampiran dengan kawasan yang mungkin terjejas akan menerima notifikasi sehari sebelum berlakunya bencana.

Jangkaan masa kejadian juga akan dinyatakan secara spesifik.

Selain itu, 'shakemap' di mana magnitud dan pusat gempa bumi akan turut dipaparkan di dalam aplikasi berkenaan beserta kod warna yang akan digunakan untuk mengenal pasti gempa di kawasan tertentu.