WATCH
Ini baru ‘rare’ kerana ada dua unit di dunia
Apa yang anda lihat ini ialah sebuah Honda S800 Racing dan cukup unik apabila Honda cuma membina dua unit sahaja di dunia dan ia membuat kemunculan di Pameran Motor Paris pada 1967.
Honda S800 Racing boleh diklasifikasikan sebagai sebuah roadster dengan nadi perlumbaan yang dihasilkan daripada versi standard Honda S800. Model asas itu (Honda S800) diperkenalkan di Pameran Motor Tokyo pada tahun 1965.
Pengenalan Honda S800 adalah untuk bersaing dengan model roadster kecil Eropah seperti Fiat 850 Spider, Triumph Spitfire, Austin-Healey Sprite dan MG Midget.

Honda S800 standard menggunakan enjin aloi termaju DOHC empat silinder sebaris (ketika itu) di mana pusingan enjin seminit jentera itu boleh mencapai garisan merah 8,500rpm
Ia mempunyai kapasiti 791cc yang boleh mencapai kuasa 70bhp pada 8,000rpm dengan bantuan kotak gear empat kelajuan.

Honda pernah menjual sebanyak 11,536 unit S800 standard sebelum menghentikan pengeluaran pada 1970 dan memberi fokus penghasilkan kereta untuk kegunaan keluarga.
Honda S800 Racing pula menerima talaan enjin baharu supaya lebih berprestasi, sekali gus menyaksikan peningkatan kuasa kepada 90bhp (tambahan 20bhp). Ia juga menggunakan kotak gear lima kelajuan.

Unit S800 Racing ini yang menjadi kereta pameran kemudiannya dijual kepada Alfred Bullman oleh Honda Perancis pada tahun 1969.
Bullman dikatakan menggunakan S800 Racing untuk perlumbaan pendakian bukit dan beberapa sukan lumba lain. Selepas itu, dia menjual kereta itu kepada individu lain dan kereta ini dipercayai berpindah kepada beberapa pemilik lain selepas itu.

Beberapa hari lalu, unit yang anda lihat ini sudah dijual menerusi acara lelongan dan harganya akhir belum didedahkan. Biarpun begitu, kereta ini disasarkan antara €75,000 (RM355,150) hingga €95,000 (RM449,850) oleh firma lelongan Artcurial.
Must-Watch Video