Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan mana-mana individu yang memakai gelang merah jambu gara-gara untuk tujuan gurauan (prank) boleh dianggap melakukan kesalahan.

Menerusi laporan Astro Awani, Ismail Sabri berkata individu berkenaan membuat kesalahan kerana mempunyai niat untuk menipu orang ramai.

“Terdapat dua kesalahan. Pertama, jika dia benar-benar dikuarantin dan memakai gelang ‘pink’ untuk keluar, tentunya dia dikenakan tindakan.

“Kalau tidak dikenakan kuarantin tetapi (semata-mata hanya) memakai gelang tersebut, dia juga menipu kerana menggunakan bahan atau peralatan Kementerian Kesihatan untuk tujuan menipu orang ramai.

“Dia salah... (kerana) melakukan kesalahan tersebut,” katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Katanya lagi, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu.

“Terserah kepada polis untuk ambil tindakan. Kami perlu bertanggungjawab.

“Jangan kita jadikan perkara ini sebagai bahan mainan atau ketawa. Ini melibatkan isu nyawa, isu yang besar.

"Jadi, jangan menganggap ini perkara yang boleh dibuat lawak, dimain-mainkan kerana kesannya adalah amat besar," katanya.

Tegasnya lagi, isu berhubung wabak COVID-19 perlu diambil serius dan bukannya perkara yang boleh dijadikan gurauan.

Pada 15 September lalu, seorang influencer memuat naik video yang menunjukkan dia memakai gelang ‘pink’ tatkala makan di sebuah restoran.

Video berkenaan menimbulkan kontroversi dan menerima kecaman hebat daripada netizen di media sosial.

Pada Ahad lalu, individu tersebut memohon maaf menerusi satu muat naik di laman Instagram peribadinya.

BACA : Instafamous Mohon Maaf Buat Prank Pakai Gelang Pink! - "Video Itu Hanya Syok-Syok Sahaja"

BACA: Chazynash Pakai Gelang Pink Makan Di Restoran! - "Kau Ingat Satu Gurauan Ke?"