Penyanyi Misha Omar mendedahkan yang dia sekeluarga tidak pulang ke kampung halaman di Kelantan bagi meraikan kedatangan Hari Raya Aidiladha.

Hal ini kerana, pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu memberitahu, ibunya, Zainab Mat Nor sudi datang ke Kuala Lumpur untuk berhari-raya bersama dengan anak-anak serta cucunya.

“Tak balik sebab ibu saya ada di sini. Alhamdulillah, sebab sebenarnya hari raya itu adalah untuk kita bersama dengan orang tua kita. Bila mak ada di sini, keluarga mentua pun di sini, ia bakal menjadi hari raya paling praktikal untuk kami.

“Saya pun dapat berlapang dada sebab tak perlu hadap kesesakan lalu lintas, atau perlu menunggu di airport berjam-jam jika menaiki pesawat. Bila semua ada di ibu kota, saya jadi happy untuk sambut raya,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Misha menambah, dia berasa bersyukur kerana dapat menyambut Hari Raya Aidiladha dengan orang yang tersayang.

Katanya, selain tidak lagi perlu berhubung dengan orang tua menerusi panggilan video seperti sebelum-sebelum ini, dia juga dapat menikmati air tangan ibunya pada pagi raya.

“Bila ibu kita ada, sudah pastilah dia yang akan masak. Saya tak ralatlah sebab dapat makan air tangan ibu kita. Jujur, ia merupakan satu nikmat yang tidak boleh didustakan.

“Kemudian boleh jumpa depan-depan tak perlu video call. Jadi, ini nikmat yang kita tak dapat masa pandemik tengah parah. Kita rasa macam kita dah dapat hidup kita semula. Tahun ini memang sangat sweet,” katanya menutup perbualan.