Kisah kematian tragis seorang Influencer dan sosialit Hong Kong, Abby Choi sedang menjadi perhatian dunia.

Apa lagi, mayat perempuan berusia 28 tahun itu ditemui dengan beberapa anggota badan yang telah terpisah dan dikerat-kerat termasuk kepalanya yang ditemui dalam periuk sup di sebuah rumah flat tiga tingkat di Kampung Lung Mei, daerah Tai Po.

Barangkali jika bukan kerana aduan ini kepada polis, pihak berkuasa masih tidak sedar mengenai kehilangan Abby Choi lebih seminggu lalu.

Namun South China Morning Post melaporkan polis mula menjejaki dan mencari kehilangan Abby Choi selepas dia dikatakan tidak muncul untuk menjemput anak perempuan yang ditinggalkan saat dia mahu bertemu dengan keluarga bekas mentuanya.

Menurut laporan sama, Abby Choi kali terakhir dilihat pada sekitar pukul 2.15 petang waktu tempatan, 21 Februari 2023 di kawasan Fo Chun Road.

Waktu itu dia menggenakan baju lengan panjang yang dipadan seluar panjang warna putih, sandal dan beg berwarna ungu.

Dia kemudian dilihat telah dijemput oleh abang iparnya, Anthony Kwong sebelum ditemui mati dalam keadaan tragis.

Diketahui Abby Choi dibunuh oleh lima suspek yang didakwa bersubahat iaitu bekas suaminya, Alex Kwong (28), abang iparnya, Anthony Kwong (31), dan kedua ibu dan bapa mentuanya. Turut ditahan adalah kekasih Alex Kwong yang didapati telah membantu menyewa tempat pembunuhan berlaku.

Sebelum kepala wanita tersebut ditemui dalam periuk sup yang dicampur bersama lobak, polis menemui tulang rusuk dalam bekas lain dan kakinya ditemui dalam peti sejuk.

Sewaktu serbuan dibuat, polis juga menemui penggiling daging, gergaji elektrik serta dua periuk sup berisi tisu manusia. Selain itu, dua jenis pencincang, tukul, face shields, baju hujan hitam serta beg tangan berwarna ungu milik Choi.

Pihak berkuasa turut merampas wang tunai 500,000 dolar Hong Kong (kira-kira AS$63,700) dan beberapa jam tangan mewah bernilai kira-kira HK$4 juta (AS$510,000).

Punca kematian Abby Choi dikatakan berkaitan dengan pertelingkahan mengenai aset bernilai puluhan juta dolar Hong Kong.