Sebut sahaja nama Datuk Profesor Dr. A. Razak Hj. Mohaideen (P. Tech) pasti kita semua akan teringat pada filem-filem komedi sentuhan beliau yang pernah menjadi fenomena seperti Anak Mami The Movie dan Mami Jarum.

Yang terbaharu, Prof Razak Mohaideen muncul dengan naskah terbaru berjudul Rumah Maduku Berhantu yang dibintangi Zizan Razak, Rita Rudaini, Nadia Brian, Saiful Apek, Azlee Senario, Douglas Lim dan ramai lagi.

Filem bergenre komedi seram ini sudah mula ditayangkan pada 2 Disember lalu.

Ini sebab korang rugi kalau tak tonton filem Rumah Maduku Berhantu:

#1 Rita Rudaini kembali ke set Prof Razak Mohaideen selepas Mami Jarum
Rita Rudaini, mutu lakonannya memang tidak dapat disangkal lagi. Menerusi filem ini Rita membawa watak sebagai Sofea yang menyampaikan lakonannya dalam loghat utara sekaligus mengingatkan kita kepada filem lakonannya yang terdahulu iaitu Mami Jarum dan Mami Jarum Junior.

Rita juga berjaya menterjemahkan mesej yang dibawa menerusi filem ini iaitu ilmu rumah tangga yang sering dipandang ringan oleh generasi masa kini.

#2 Gelagat Zizan Razak ubat rindu peminat
Zizan Razak, mendengarkan nama sahaja penonton sudah boleh membayangkan aksi lucunya! Tambahan lagi apabila filem bergenre komedi. Zizan membawa watak sebagai Saufi, seorang agen hartanah yang setia dan bahagia bersama isterinya Sofea serta anak perempuan mereka, Lulu.
Masalah di dalam rumah tangga mula berlaku apabila Ali dan Alia muncul secara tiba-tiba kerana mahukan bantuannya.

Aksi spontan Zizan menerusi filem ini pasti dirindui peminat, tambahan lagi Zizan sudah lama tidak muncul di layar lebar dengan watak komedi.

#3 Jalan cerita best penuh aksi-aksi lucu, tak kering gusi
Sepanjang menonton filem ini penonton akan terhibur dengan aksi spontan Apek Senario dan Azlee yang membuatkan korang semua tak gering gusi ketawa!

Apatah lagi melihat Saufi yang terpaksa ‘coverline’ dengan Sofea mengenai status dirinya yang sudah berkahwin lagi! Berdebar okay!

Lupakan tekanan kerja, tontonlah Rumah Maduku Berhantu, serius…Hilang sekejap masalah! Tunggu apa lagi, jom ke pawagam berhampiran korang sekarang!

Sinopsis filem:
Saufi (Zizan Razak) adalah seorang agen hartanah yang setia dan bahagia bersama isterinya, Sofea (Rita Rudaini) serta anak perempuannya Lulu.

Namun kebahagiaan mereka hanya seketika dan bertukar porak peranda apabila seorang sahabat lama, Ali (Azlee Jaafar) telah memaksa Saufi untuk bersetuju menjadi ‘Pak Sanggup’ dengan mengahwini bekas isterinya iaitu Alia (Nadia Brian) untuk satu malam sahaja.

Perkahwinan ‘sementara’ itu antara Saufi dan Alia menjadi bertambah rumit apabila Ali meninggal dunia di dalam satu kemalangan. Saufi kini harus mencari penyelesaian untuk hidup bersama isteri pertama dan kedua tanpa membocorkan rahsia bahawa mereka kini telah bermadu.

Saufi telah menyediakan tempat tinggal isteri keduanya di sebuah rumah banglo usang. Saufi merasai suatu entiti seram mengganggunya di rumah tersebut.

Pelbagai insiden lucu dan seram hampir menyebabkan Saufi pecah tembelang namun beliau tetap cekal berahsia sehinggalah satu malam yang maha mengerikan terjadi.