Sejak kebelakangan ini, kita dapat menyaksikan ramai antara penyanyi mengambil pendekatan untuk mencipta lagu sendiri berbanding menyanyikan lagu komposer lain.

Hal yang sama turut dilihat pada penyanyi dan pelakon popular, Daiyan Trisha. Pemilik nama lengkap Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin itu berkata, dia lebih selesa untuk menyanyi mengikut gaya tersendiri.

“Bidang nyanyian memang dekat dengan diri saya dan mungkin juga saya merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu, jadi, saya agak kurang gemar nak nyanyikan lagu orang lain.

“Lagu-lagu yang saya nyanyi kebanyakannya ciptaan saya sendiri dan hal tersebut merupakan cara saya untuk teruskan apa yang saya suka buat,” katanya yang turut mengakui suka mengikut rentak sendiri apabila tiba soal menyanyi.

Dalam perkembangan lain, Daiyan turut berkongsi yang dia bakal membawakan karakter seorang gadis bertudung menerusi telefilem baharu berjudul Rompak.

Menurut Daiyan, menerusi telefilem berkenaan, dia juga bakal berkolaborasi buat pertama kali dengan pelakon dan pengacara Zizan Razak.

“Saya memang tidak pernah bekerja dengan Zizan sebelum ini, jadi saya boleh rasakan yang ia bakal menjadi satu pengalaman yang menarik.

“Tambahan pula, telefilem berkenaan ada viba filem aksi berkereta Fast & Furious dan saya pula membawakan watak gadis yang mengenakan tudung. Pertama kali bawakan watak sedemikian.

“Cabarannya tentulah saya yang tidak mengenakan tudung perlu pakai dalam telefilem tersebut. Saya perlu biasakan sebab tak nak nampak macam baru pakai dan kekok,” katanya lagi.

Sebelum ini, lakonan Diayan menerima pujian netizen menerusi drama bersiri Projek: Anchor SPM.