Malam semalam negara dikejutkan dengan berita satu pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, Ipoh, Perak.

Mangsa, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur, mengalami kecederaan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.10 malam tadi, pesawat itu dilaporkan terhempas dalam kawasan rumah pam Sungai Rokam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak bersebelahan sebuah kediaman penduduk.

Memetik laporan Harian Metro, Ibu saudara kepada Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang enggan namanya dikenali, 54, berkata Allahyarham tidak pernah menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia penerbangan disebabkan minat mendalam sejak muda.

Namun menurutnya, ibu Fajim tidak menggalakkan minatnya itu kerana bimbang tragedi yang sama berlaku dengan bapanya yang turut terlibat dalam nahas membabitkan pesawat.

"Emak arwah yang juga kakak sulung saya, tidak begitu menggalakkan minat arwah disebabkan risau memandangkan ayah kandung arwah juga terkorban dalam nahas membabitkan pesawat iaitu tragedi helikopter Nuri di Muara Sungai Lundu, Sarawak pada tahun 1989.

"Arwah Fajim juga pernah dilaporkan media sebelum ini hilang selama beberapa hari akibat tersangkut di atas pokok selepas pesawat MiG-29 dipandunya pada November 2004 terhempas," katanya.

Beliau berkata, dua mangsa berkenaan yang tersepit berjaya dikeluarkan dari bangkai pesawat dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 9.20 malam semalam.

Sumber: Harian Metro