Penyanyi Nubhan menjelaskan dia tidak merasakan gambar tidak berbaju yang dikongsinya di Instagram baru-baru ini melampaui batas.

Ketika dihubungi Gempak, Nubhan mengatakan dia tidak berniat untuk mengundang pelbagai persepsi negatif di kalangan netizen, sebaliknya hanya berkongsi gambar tersebut untuk memotivasikan diri agar terus berusaha mendapatkan bentuk badan yang menarik.

"Saya tak rasa gambar itu melampaui batas, orang lain pun ada yang buat begitu.

"Lagipun gambar itu lebih menampakkan bahagian atas badan saya, saya rasa ia taklah keterlaluan.

"Saya tidak berniat untuk mengundang pendapat negatif dari netizen, akaun Instagram saya adalah hak saya, saya boleh kongsi apa yang saya mahu tapi mungkin netizen berasa terkejut kerana saya tidak pernah buat begitu sebelum ini.

"Saya kongsi gambar itu untuk menambah motivasi supaya saya lebih bersemangat untuk sentiasa ke gymnasium," ujarnya.

Namun begitu, Nubhan telah memadam gambar itu untuk tujuan kebaikan.

Nubhan dan isterinya, Afifah Hidayah Taufek mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 di Seremban, Negeri Sembilan.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan Aafiya Kamilia berusia setahun dan isterinya kini sedang hamil anak kedua.