HIBURAN
“Insya-Allah Tahun Depan Bersama Suami Baharu” – Nora Danish Sedih Tak Dapat Tunai Haji Tahun Ini
Pelakon, Nora Danish, meluahkan rasa sedih apabila tidak berpeluang menunaikan ibadah haji pada tahun ini seperti yang diharapkannya.
Menurut Nora, 43, meskipun keinginan itu sangat besar, namun dia akur bahawa jemputan ke tanah suci adalah ketentuan Allah SWT dan tidak semua diberi rezeki pada waktu yang diinginkan.
“Saya sebenarnya nak sangat pergi haji tahun ini. Tetapi tak ada rezeki. Allah kata belum lagi. Mungkin tahun depan bersama suami baharu, insya-Allah.
“Sejujurnya saya rasa sedih dan terkilan. Tetapi semuanya kuasa Allah SWT. Kita hanya mampu merancang.
“Jadi tahun ini saya akan sambut hari raya Aidiladha di Malaysia sahaja,” katanya.
Nora berkata demikian ketika ditemui di majlis Pelancaran koleksi Amber Oasis Abaya di Glasshouse Seputeh, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Mengulas megenai halangan tersebut, pelakon drama Puteri itu berkata terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan ketika ini sehingga menjadikan impiannya ke Tanah Suci terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
“Pelbagai tawaran datang dan saya perlu buat keputusan dan pilihan. Tetapi panggilan haji ini adalah jemputan daripada Allah kan. Kalau belum sampai masanya, maka belumlah. Insya-Allah tahun depan.”
Dalam perkembangan lain, Nora baru sahaja dilantik sebagai duta koleksi abaya jenama Amber yang diberi nama Oasis.
Selain Nora, dua lagi selebriti popular turut dipilih sebagai duta bersama iaitu Amira Othman dan Amyra Rosli.
Sekadar info, Nora dan Nedim Mohamad Nazri, 41, bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan memiliki anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.
Must-Watch Video