Laman Utama
IRAMA Buat Laporan Polis Terhadap Influencer Malukan Warga Emas – “Perbuatan Dia Tidak Wajar, Bimbang Jadi Ikutan…”
Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) telah membuat laporan polis pada malam semalam (Rabu), berkenaan sebuah video tular seorang influencer yang memalukan seorang gelandangan warga emas atas alasan 'motivasi'.
IRAMA, menerusi sebuah kenyataan menegaskan, tindakan perlu diambil kerana perbuatan tersebut tidak wajar dicontohi dan menjadi ikutan.
Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid berkata, terlalu banyak aksi tidak beretika dan beradab dilakukan oleh golongan 'influencer' pada masa kini.
Advertisement
“Selalunya, bila perkara seumpama ini berlaku, reaksi warga net akan segera mengaitkan tindakan itu sebagai "perangai artis".
“Ini membimbangkan kami dalam jangka masa panjang kerana tindakan mereka menyebabkan golongan artis terpalit sama.
“Lebih menakutkan ramai antara Influencer ini sememangnya akrab dengan golongan artis yang menyebabkan setiap tindakan mereka juga dikira sebagai tindakan para artis atau direstui oleh para artis.
“Kita tidak mahu kelakuan tidak beretika ini menjadi ikutan kanak-kanak dan golongan remaja yang sudah tentu menonton video tersebut.
“Bayangkan jika kelakuan tidak beretika ini dijadikan contoh oleh golongan muda hari ini kerana percaya ia sebagai cara untuk berjaya yang perlu diikuti dan dicontohi,” katanya.
Tambah Ayob, Konsortium IRAMA berharap agar ada garis panduan dan tindakan yang lebih tegas terhadap apa jua aksi biadap dan tidak bertanggungjawab oleh para influencer.
“Semoga tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka ini yang suka melakukan gimik bagi meraih perhatian.
“Cukup-cukuplah kita sajikan kisah tular kebiadapan influencer sebagai contoh ikutan. Trend ini perlu ditamatkan,” katanya.
Must-Watch Video