Sekilas
- Datuk Seri Aliff Syukri memilih untuk tidak memanjangkan isu berkaitan pelanggan yang meletakkan kenderaan secara double park berhampiran premisnya dan menghormati Ahmad Idham yang lebih berusia.
- Aliff terbuka untuk berjumpa dan berbincang secara baik dengan Ahmad Idham serta telah mengambil inisiatif memanggil pasukan RELA untuk menguruskan trafik di kawasan perniagaannya.
- Aliff melihat isu ini dari sudut positif kerana ia secara tidak langsung mempromosikan perniagaannya dan memaafkan sebarang gangguan yang berlaku.
Usahawan dan pempengaruh media sosial, Datuk Seri Aliff Syukri memilih untuk tidak memanjangkan lagi isu melibatkan pengarah dan penerbit, Ahmad Idham yang sebelum ini meluahkan rasa kurang senang berhubung sikap segelintir pelanggan yang didakwa meletakkan kenderaan secara ‘double park’ berhampiran premis perniagaannya.
Menurut Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, dia tidak mahu mengulas isu tersebut secara berlebihan dan menghormati Ahmad Idham yang dianggap lebih berusia daripadanya.
Dalam masa yang sama, Aliff turut memaklumkan bahawa dia terbuka sekiranya kedua-dua pihak ingin bertemu bagi berbincang mengenai isu tersebut secara baik.
“Saya tak nak komen lebih-lebih dan sebagai seorang yang lebih tua daripada saya, saya hormatkan dia.
“Saya terbuka kalau selepas ini kita nak berjumpa dan berbincang sama-sama. Premis kita pun jaraknya hanya 10 langkah sahaja.
“Saya tak ada apa-apa masalah dan mungkin perkara ini telah diprovokasi sehingga tercetusnya isu,” katanya kepada Gempak.
Aliff berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Brandfilm Raya D’Herbs yang bertajuk ‘Ya, Abang Saya Sekuriti’ bertempat di GSC IOI Mall Damansara pada Isnin.
Mengulas lanjut, Aliff berpendapat, pertambahan pelanggan di premis perniagannya adalah satu perkara yang tidak dijangka sehingga menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan.
Walau bagaimanapun, Aliff menegaskan bahawa mereka telah mengambil inisiatif dengan memanggil pasukan RELA untuk membantu menguruskan trafik di sekitar kawasan tersebut.
“Sepanjang berniaga, saya tak pernah menyangka wisma kami akan dihadiri pelanggan seramai itu.
“Kami juga ada inisiatif dengan memanggil pasukan RELA untuk menjaga lalu lintas di sekitar kawasan premis kami dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Memberikan komen lanjut, Aliff melihat isu yang timbul dari sudut positif apabila menyifatkan situasi yang berlaku itu secara tidak langsung telah mempromosikan perniagaannya.
“Cuma apa yang abang (Ahmad Idham) buat itu dalam masa yang sama telah mempromosikan perniagaan saya. Jadi, saya nak ucapkan ribuan terima kasih.
“Saya tak ambil hati dan saya memaafkan. Dalam masa yang sama, saya juga memohon maaf jika ada mengganggu premis dia,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahmad Idham mencetuskan perbualan hangat apabila meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan segelintir pelanggan yang didakwa meletakkan kenderaan secara double park sehingga mengganggu operasi sekolah miliknya yang terletak berhampiran premis perniagaan Aliff Syukri.
Pengarah filem Impak Maksima itu kemudiannya membuat permohonan maaf dan menjelaskan hantaran yang dibuat hanyalah sebagai tanda kecewa terhadap sikap segelintir pengguna jalan raya.