BERITA
Israel Kuasai Kawasan Luas Di Gaza, Serangan Udara Ragut 23 Nyawa
Israel memaklumkan tenteranya kini menguasai kawasan yang luas di Gaza serta menjadikan wilayah Palestin itu semakin kecil dan terasing.
Ragut 23 nyawa
Kenyataan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz itu dibuat ketika ketenteraan negara itu meneruskan serangan baharu ke atas wilayah yang sudah musnah akibat perang, sekali gus menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Serangan udara yang dilancarkan ke atas sebuah blok kediaman meragut sekurang-kurangnya 23 nyawa.
Dalam masa sama, sekatan bantuan memburukkan lagi ancaman kebuluran terhadap 2.4 juta penduduk Gaza.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, Perancis merancang untuk mengiktiraf negara Palestin dalam beberapa bulan akan datang.
Keadaan itu disifatkan sebagai satu langkah berisiko mencetuskan ketegangan dengan Israel yang bertegas bahawa sebarang pengiktirafan oleh negara luar adalah terlalu awal.
Gaza jadi lebih kecil
Katz dalam lawatannya ke Koridor Morag yang baru diumumkan, antara bandar Rafah dan Khan Yunis, berkata kawasan besar kini dirampas dan ditambah kepada zon keselamatan Israel, menyebabkan Gaza menjadi lebih kecil dan lebih terasing.
Beliau menegaskan bahawa Israel akan terus meningkatkan tekanan terhadap Gaza sehingga semua tebusan dibebaskan dan Hamas ditewaskan.
Katz turut menyatakan bahawa Israel menyokong rancangan untuk 'penghijrahan secara sukarela'... selaras dengan visi Presiden Amerika Syarikat (AS), yang mana sedang diusaha untuk dilaksanakan.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mencadangkan rancangan untuk membangunkan Gaza menjadi 'Riviera Timur Tengah' dengan memindahkan penduduknya ke tempat lain.
Sementara itu, agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan bahawa satu serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di Bandar Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Tentera Israel berkata ia menyasarkan seorang pejuang kanan Hamas.
Serangan itu berlaku di kejiranan Shujaiya, menurut jurucakap agensi terbabit, Mahmud Bassal kepada AFP.
"Masih terdapat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan," katanya.
Penduduk Shujaiya, Ayub Salim, 26, berkata kepada AFP bahawa kawasan itu diserang dengan peluru berpandu dan merupakan kawasan padat dengan khemah, orang yang dipindahkan serta rumah kediaman.
"Debu dan kemusnahan menyelubungi seluruh kawasan, kami tidak nampak apa-apa, hanya terdengar jeritan dan panik dari orang ramai," katanya.
Salim berkata mayat mangsa serangan itu berkecai.
Satu pasukan dari agensi pertahanan awam Gaza bergegas ke lokasi dan mendapati ramai yang masih terperangkap di bawah runtuhan, kata seorang penyelamat.
"Rumah ini menempatkan ramai orang yang menyangka mereka selamat. Ia diletupkan di atas kepala mereka," kata penyelamat, Ibrahim Abu al-Rish kepada AFP.
"Kami mengeluarkan sisa-sisa tubuh wanita dan kanak-kanak. Masih ada yang tertimbus di bawah runtuhan," katanya.
Rakaman AFP menunjukkan pasukan penyelamat dan orang ramai menggunakan tukul besar untuk memecahkan lantai konkrit satu tingkat bangunan yang runtuh akibat serangan dan menimpa penduduk.
Mereka akhirnya berjaya membuat satu lubang di mana mayat kanak-kanak dikeluarkan.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video