Pemain gitar kumpulan Wings, Eddie reda apabila isterinya iaitu Norlela Mohd Yusof, 61, meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira jam 2.30 petang, hari ini dipercayai akibat komplikasi buah pinggang.

Eddie atau nama sebenarnya, Samsaidi Ulong Idris, 55, memaklumkan, arwah isterinya itu sudah dua minggu menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Arwah isteri meninggal dunia ketika sedang melakukan rawatan dialisis. Sebelum ini, arwah sudah dua minggu dirawat di hospital.

"Selain masalah buah pinggang, arwah juga terkena jangkitan kuman dan jantungnya menjadi lemah.

"Saya sudah sedia dengan segala kemungkinan sebab arwah isteri sudah lama sakit," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, pihak pengurusan Wings memaklumkan, jenazah Allahyarham Norlela diuruskan di Hospital Ampang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, malam ini.

Eddie yang mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Norlela pada 1991 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Najmi Nadhira, Nur Najmi Nabila dan Mohd Aidil Hidayat.

Sumber: Berita Harian