Komposer dan gitaris kumpulan Hujan AG Coco memaklumkan dirinya kini telah berpindah ke United Kingdom (UK) bersama isteri, Zuliana Eusoff dan anak lelaki mereka, Hidayat Hezry.

Menerusi laman sosial Instagram, AG atau nama sebenarnya Mohd Hezry Mohd Hafidz, 37, berkongsi foto terkini bersama keluarga dan turut menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.

Difahamkan Zuliana yang merupakan duo kumpulan Hani & Zue berhijrah ke UK bersama anaknya terlebih dahulu sekitar Oktober lalu bagi tujuan menyambung pengajiannya.

“Menyambut ulang tahun perkahwinan kelima kami di luar negara. Perkara terpenting adalah keluarga. Bertemu kembali bersama isteri, anak Hidayat. Saya bersyukur, kalian sangat bermakna pada saya,” tulis AG di ruangan kapsyen.

Walaupun kini menetap di benua Eropah, AG memaklumkan dia masih menawarkan sebarang perkhidmatan berkaitan muzik untuk mereka yang berada di Malaysia.

“Untuk mereka yang masih belum tahu, saya kini menetap di London, GB. Saya masih menawarkan perkhidmatan seperti biasa (terbit muzik/sesi muzik dan sebagainya) dari jauh (mengikut waktu UK). Sila hubungi saya seperti biasa menerusi email dan nombor +44 (0),” jelas AG lagi.

A post shared by AG COCO (@agcoco)


Sementara itu di ruangan komen, ramai rakan selebriti dan wargamaya menitipkan ucapan ulang tahun perkahwinan dan dan selamat berhijrah kepada pemuzik yang berasal dari Alor Star itu.

“Selamat ulang tahun perkahwinan AG dan Zue. Semoga hingga jannah. Bangga dengan kejayaan both of you,” kata Liyana Jasmay.

“Yeay happy anniversary guys,” komen Yuna.

“Jauh merantau. Hope bila wife hang abis study nanti balik Malaysia ada la sesuatu yang fresh dari sana. ‘Bunyi’ Hujan yang baru,” ujar seorang wargamaya.

“Hilang cakap Kedah noh duduk sana. Happy anniversary idola,” kata seorang wargamaya.

Happy anniversary bro. Have a nice day! Menetap terus ke kat sana. Wow hebat,” tulis seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 11,000 tanda suka daripada pengikutnya.

Imbas kembali, AG dan isteri telah bernikah pada 10 Disember 2016 di Kelana Jaya, Selangor.