Penyanyi Aiman Tino menyelar tindakan sesetengah pihak yang sekali lagi mengaitkan dirinya dengan video separa bogel.

Selepas lebih sebulan video lelaki bogel yang didakwa mirip Aiman menjadi viral di laman sosial, penyanyi lagu Permata Cinta itu dikaitkan lagi dengan sebuah rakaman video terbaru miripnya.

Rakaman yang dipercayai susulan video yang viral lebih sebulan lalu itu mula menjadi bualan netizen semenjak semalam.

"Saya dengan tegasnya menafikan lelaki berkenaan adalah saya. Saya juga kesal dan kecewa kerana masih ada pihak yang terus mengaitkan diri saya dengan rakaman video-video tidak senonoh.

"Bagi saya, pengguna media sosial yang tak bertanggungjawab tidak akan pernah berpuas hati dengan saya dan terus menyebarkan perkara yang tidak benar," kata Aiman.

Aiman ditemui di majlis pelancaran Bazaar Raya Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Tambah pelantun lagu Terlerai Sebuah Janji ini, dia sudah malas untuk mengambil pusing tentang hal ini.

"Saya anggap isu ini sebagai satu perkara yang bodoh dan saya tidak akan buat perkara sebegini.

"Andai kata perkara ini terus berlarutan, saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya.