Laman Utama

Isu Jemaah Haji Terkandas, Ustaz Kazim Elias Pesan Bersangka Baik, Anggap Sebagai Ujian - “Allah Tak Izinkan..”

gempak
Azwa Rahman
13/07/2022
07:49 MYT
Sponsor Banner
Isu Jemaah Haji Terkandas, Ustaz Kazim Elias Pesan Bersangka Baik, Anggap Sebagai Ujian - “Allah Tak Izinkan..”
Pendakwah bebas Datuk Ustaz Mohammad Kazim Elias memohon jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dipercayai ditipu sebuah agensi pelancongan bersabar dengan ujian Allah SWT.
Menurut Ustaz Kazim, ada beberapa iktibar yang boleh diambil daripada insiden tersebut antaranya kunjungan seseorang jemaah ke tanah suci memerlukan keizinan daripada Allah SWT.
“Yang pertama sekali Allah tak izinkan. Untuk menunaikan haji dan sebagainya, perlukan keizinan daripada Allah SWT. Kita setakat terkandas di KLIA, ada orang terkandas dah nak sampai di Makkah. Sebab tu kita pandang baik pada Allah, Allah tak izinkan.
“Yang kedua, kita kena ingat kadang-kadang tak semua orang nak menipu. Kadang-kadang ada masalah yang kita tak tahu yang dihadapi oleh pihak tersebut. Akhirnya kita bercakap tentang perkara yang kita tidak tahu.
“Kita kena ingat bahawa ini adalah ujian daripada Allah. Harap semua jemaah haji yang tersangkut banyakkan bersabar. Bukan setakat di Malaysia, di luar negara ramai juga yang tersangkut,” ujar Ustaz Kazim.
Penceramah yang kini bergelar pelakon itu ditemui dalam program MeLETOP yang bersiaran secara langsung pada Selasa.
Dalam pada itu Ustaz Kazim turut memaklumkan seseorang individu itu boleh meraih pahala menunaikan haji tanpa perlu menjejakkan kaki ke tanah suci.
“Cuma kita sebagai seorang Islam kena ingat, walaupun kita tak boleh pergi haji, kita boleh dapat pahala haji.
“Niat dapat satu, kalau kita jaga mak bapa kita pun dapat pahala buat haji. Kalau kita pergi masjid, menuntut ilmu di masjid pun dapat pahala haji.
“Kalau kita sembahyang Subuh berjemaah, duduk solat Isyraq sebelum kita balik, itu pun dapat pahala haji. Walaupun kita tak dapat tunai haji, kita dapat pahala haji, Insya-Allah,” jelas beliau lagi.
Pada 7 Julai lalu, seramai kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live