Laman Utama

Isu Karipap Berkulat: Tepat Tekaan Netizen, Vendor Mengaku Kitar Semula Karipap Tak Laku

gempak
Gempak
02/04/2023
23:21 MYT
Sponsor Banner
Isu Karipap Berkulat: Tepat Tekaan Netizen, Vendor Mengaku Kitar Semula Karipap Tak Laku
Tindakan vendor yang meletakkan karipap yang dikitar semula menyebabkan makanan tersebut rosak dan berkulat.
Sebelum ini pada Khamis, tular inti karipap yang berkulat yang dibeli seorang wanita di sebuah bazar mengundang kemarahan pengguna.
Emma Razali, 28 memuat naik status di laman sosial Facebook di Warga Kuantan Official pada Ahad selepas pertemuan diadakan bersama dirinya, peniaga, vendor dengan kehadiran pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat.
"Akhirnya kami telah mengetahui punca karipap kulat tersebut. Peniaga bazar hanyalah sebagai orang tengah yang mengambil sedikit komisen bagi menjual kuih-muih dari vendor.
"Vendor telah mengakui silapnya di mana karipap itu sememangnya karipap hari sebelumnya (Rabu) yang telah dikitar semula untuk dijual semula pada Khamis," jelasnya.
Emma juga menjelaskan kronologi kejadian dalam status tersebut iaitu pada Rabu, enam bekas karipap yang diletakkan oleh vendor itu tidak habis dan peniaga terbabit telah memaklumkan kepada vendor dan bertanya sama ada ingin mengambil semula atau tidak.
"Pihak vendor meminta peniaga simpan dalam peti ais, tetapi peniaga memberitahu peti aisnya tidak muat dan bertanya bolehkah karipap diletakkan di luar (suhu bilik).
"Kerana faktor rumah yang jauh dan peniaga memberitahu sudah lewat malam, vendor bersetuju sahaja karipapnya diletakkan di suhu bilik sehingga keesokan harinya.
"Peniaga membawa enam bekas karipap tersebut ke bazar dan vendor sendiri datang ke bazar melihat keadaan terkini karipap tersebut dan meminta peniaga meneruskan penjualan karipap itu kerana katanya inti karipap yang dibuat masih baru dan yakin masih dalam keadaan elok," tambah wanita itu yang membeli makanan itu yang disusun di kedudukan paling atas.
Tambah wanita itu lagi, sebagai pembeli, sudah semestinya dia hanya mencari peniaga selepas mengetahui produk tersebut rosak.
"Jika saya tidak meletakkan lokasi bazar tersebut, sudah pasti ramai peniaga akan menghubungi saya dan kemungkinan peniaga sebenar tidak sedar produk jualan vendornya yang berkulat.
"Dan sesiapa ada terbeli karipap yang sama di bazar tersebut pun akan berhati-hati jika dia juga mengalami keracunan makanan.
"Alhamdulillah ibu saya tidak mengalami sakit perut atau simptom-simptom keracunan makanan tetapi kakak saya mengalami cirit-birit dua kali pada pagi hari Jumaat," jelas Emma.
Tambah Emma, dia juga telah membuat aduan di saluran yang betul terhadap KKM dan pihak berkuasa juga telah melakukan pemeriksaan ke gerai bazar tersebut pada Jumaat selain menyerahkan kesemua karipap berkulat untuk dihantar ke makmal.
Ujar wanita itu, KKM juga telah bertindak memeriksa tempat pembuatan karipap iaitu rumah vendor terbabit di hari yang sama.
"Pihak KKM juga turut memberitahu makanan yang dijual sepatutnya tidak boleh melebihi empat jam dari waktu pembuatan.
"Tujuan saya membuat status ini bukan untuk popular, meraih tanda suka dan simpati, bukan untuk content dan bukan nak fitnah mana-mana pihak.
"Segala saya ceritakan adalah hal yang benar dari pihak saya sendiri, tiada tokok tambah. Sebarang komen adalah tanggungjawab sendiri.
"Semoga kita semua boleh mengambil iktibar dari kejadian ini. Jagalah kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan. Tidak mengapa rugi sedikit asalkan rezeki berkat terutama di bulan mulia ini," ujar Emma.
SINAR HARIAN
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live