Laman Utama
Isu Selebriti & Instafamous Langgar SOP, Nora Ariffin Mohon Jaga Sensitiviti Masyarakat - Ramai Rakyat Susah & Terkesan ..."
Selebriti dan Instafamous menjadi tumpuan netizen sejak akhir-akhir ini kerana kerap berkongsi aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di laman media sosial.
Terbaru, penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, tampil bersuara mengenai isu panas itu namun hantaran tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin menyeru agar semua pihak yang berkemampuan lebih menjaga sensitiviti masyarakat memandangkan ramai rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.
"Untuk peringatan sendiri! Tolong jaga sensitiviti masyarakat. Ramai rakyat susah dan terkesan dengan pandemik ini. Kepada yang mampu, buatlah apa saja sekalipun... mohon jangan post!
"Cukup sekadar untuk diri sendiri sahaja. Tepuk dada tanya niat kita. Wallahuallam," tulis Nora.
Luahan itu dibuat menerusi Instagram Stories miliknya yang dimuat naik pada Khamis.
Bagaimanapun, hasil pemerhatian Gempak, entri itu telah dipadam di akaun Nora.
Sebelum ini, selebriti sensasi Neelofa dan suaminya, Haris Ismail, masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar SOP dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan majlis pernikahan dan larangan rentas negeri.
Selepas isu tersebut selesai, nama Neelofa dan Haris sekali lagi menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial selepas tular video dan gambar mereka berada di sebuah kedai karpet di Nilai.
Susulan itu, polis menjalankan siasatan terhadap pasangan itu yang dipercayai berada di sebuah premis perniagaan Nilai 3 di Negeri Sembilan, pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, netizen turut mempertikaikan majlis tahnik anak kedua penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dihadiri beberapa orang kenamaan.
Antara yang dapat dilihat di majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiga penceramah terkenal iaitu Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.
Baru-baru ini juga, polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pelanggaran SOP Perintah Kawalan PKPB ketika penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang dihadiri beberapa selebriti tempatan di ibu negara.
Must-Watch Video