Proses tuntutan nafkah anak oleh bekas isteri kepada pendakwah bebas Imam Muda Syed Mohd Faris Syed Roslan, Nur Hidayu bakal mengambil masa panjang memandangkan kedua-dua belah pihak masih belum bertemu kata putus.

Kata Syed Faris, proses sulh yang berlangsung pada Selasa terlalu drastik menyebabkan mereka perlu mengambil masa bagi perbincangan seterusnya.

"Insya-Allah kita akan ada perbincangan lagi selepas ini sebab hari ini (proses sulh) agak drastik dan terlalu cepat apa yang berlaku ini. Jadi, akan ada lagi perbincangan selepas ini.

"Saya harap semua doakan supaya rancangan dan masa depan anak-anak lebih terjamin. Hari ini prosiding memang tentang anak-anak sahaja," kata Syed Faris kepada Gempak.

Syed Faris dan Nur Hidayu Rosly, 33, ditemui selepas selesai proses sulh yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Selasa.

Terdahulu, kisah Nur Hidayu dan Syed Faris menjadi perhatian warganet apabila wanita terbabit membuat pendedahan diceraikan finalis program Imam Muda musim kedua pada 2014 itu selepas berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.

Nur Hidayu diceraikan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu iaitu dua hari selepas menyambut ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.

Sepanjang 13 tahun berkahwin, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, lapan bulan.

Sepanjang perkahwinan itu juga, Nur Hidayu pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali.