Pelawak dan penyampai radio Danial Zaini akhirnya membuat pengakuan lagu berjudul Ku Tak Rela yang tular sekitar awal tahun ini adalah nyanyiannya.

Menurut Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 27 tahun, dia tidak menyangka nyanyian ‘suka-suka’ itu menjadi bualan masyarakat yang ingin mengetahui identiti sebenar di sebalik suara tular itu.

“Ramai tanya siapa yang buat lagu ni dan sebagainya, di sini saya nak jelaskan lagu atas katil yang tular sejak awal tahun ini sebenarnya memang suara saya, tapi tak tahu pula nyanyian tersebut direkod seorang rakan tanpa saya sedari.

A post shared by Danial Zaini (@danialzain1)


“Lagi pun kejadian itu dirakam pada hujung tahun lalu, cuma dimuat naik pada awal tahun ini dan menjadi tanda tanya kepada pendengar tentang identiti penyanyinya sehinggalah lagu Ku Tak Rela dilancarkan secara rasmi sejak semalam,” jelas Danial menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Gempak.

Danial mengakui kisah cinta yang terputus di tengah beberapa tahun lagu setelah bekas kekasih mengikat tali pertunangan dengan individu lain menjadi inspirasi utama dalam menghasilkan lagu ini.

Biarpun menggunakan jalan cerita sebenar untuk video muzik lagu berkenaan, penyanyi yang pernah viral dengan lagu Siti Bilang Cuti ini berkata, dia hanya berkongsi perasaan sedih kepada pendengar yang pernah melalui perkara sama.

"Saya tiada niat nak ungkit kisah lama atau tujukan lagu itu kepada mana-mana individu. Saya kongsi lagu itu untuk semua yang pernah melalui pengalaman putus cinta.

"Itu perasaan yang saya pendam selama ini. Orang nampak saya melawak di atas pentas tapi orang tak tahu kesedihan yang saya lalui.

Dalam perkembangan lain, video muzik lagu Ku Tak Rela yang baru dilancarkan 2 Disember lalu berjaya mendapat hampir satu juta kali tontonan di laman Youtube selama empat hari.

Malah, video muzik tersebut kini berjaya menduduki carta trending nombor dua di platform yang sama.

Ku Tak Rela mendapat sentuhan daripada komposer terkenal malaysia Hadi Ruman dan diedarkan oleh Datu Entertainment.

Untuk rekod, Ku Tak Rela juga menjadi sountrack original bagi sebuah drama tempatan.