Jabatan Perikanan (DOF) mengesahkan tiada identifikasi porsin (DNA babi) dikesan pada sampel gegelang sotong sejuk beku seperti yang ditularkan di media sosial.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Mohd Sufian Sulaiman berkata, jabatan itu melalui makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur, sudah menjalankan identifikasi analisisa porsin ke atas sampel gegelang sotong itu.

"Justeru, DOF menegaskan beberapa sampel gegelang sotong sejuk beku yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna tempatan adalah selamat, dan tidak mengandungi DNA babi," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian tersebut akan dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

Mohd Sufian juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar, kerana ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan keraguan dalam kalangan pengguna.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan gegelang sotong yang dijual di pasaran, diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong.

Sumber: BERNAMA