Bekas juara Fear Factor Selebriti Malaysia, Mat Redho telah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai Ninja Challenge League 2018 yang diadakan di Perth, Australia pada Isnin lalu.

Mat Redho atau nama sebenarnya Mohd Redha Rozlan mengungguli pentas akhir dengan melepasi semua halangan dalam tempoh 5 minit 13.09 saat (s).

Tempat kedua disandang oleh Jake Murray dan Cameron D Silda di tempat ketiga.

Menurut Mat pengorbanannya itu nyata berbaloi apatah lagi selepas membelanjakan wang sendiri untuk ke kejohanan berkenaan.

Namun masih mengharap jika ada pihak yang sudi menajanya.

"Alhamdulillah, setakat ini sahaja yang saya mampu. Terima kasih pada isteri yang selalu teman dan jerit sambil dukung anak kami.

"Kami ada tabung sendiri untuk keluar negara... macam biasa... kalau nak ke pertandingan luar pasti pecah tabung punya... dalam masa sama tak pernah pun putus asa cuba nasib untuk ditaja,"
tulisnya.

Mat berkongsi kegembiran kejayaannya itu di akaun Instagram (IG) miliknya semalam.


Sebelum ini, Mat juga pernah menyertai American Ninja Warrior Musim ke 9 dalam kumpulan Asia, Sasuke Asean Cup 2014 dan Sasuke Vietnam 2016, 2017 dan 2018.

Di dalam pertandingan Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua dia berpasangan dengan pelakon Erin Malek pada 2014.

Nama Mat pernah menjadi kontroversi awal tahun ini apabila dikecam melakukan aktiviti ekstrem terjunan ‘rope swing’ bersama anak perempuannya, Mecca Mikaela, 2.

Bagaimanapun dengan kejayaan terbaru itu, rata-rata netizen melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dikecapi itu yang telah membanggakan rakyat Malaysia.

Malah ruangan komen IGnya dipenuhi dengan sokongan dan ucapan tahniah daripada para pengikut.