Laman Utama

“Jaga Diri Dulu Untuk Keluarga”- Me Time Penting, Ini Cara Lin Ariffin!

gempak
Syafiqah Jalal
07/03/2021
07:50 MYT
Sponsor Banner
“Jaga Diri Dulu Untuk Keluarga”- Me Time Penting, Ini Cara Lin Ariffin!
Nama Lin Ariffin bukan lagi asing dalam bidang penyampaian radio, selepas empat tahun berkhidmat di radio Zayan dia dilihat semakin matang dan mempunyai pengikut tersendiri.
Mengekalkan keberadaan di dalam industri radio, serta mengimbangi antara kerjaya dan dan keluarga sebagai seorang ibu dan isteri bukan mudah.
Banyak pengorbanan yang dilalui dan kejayaan yang dikecapi untuk bergelar personaliti radio, dan berada di dalam industri hiburan.
Sempena Hari Wanita Sedunia, Gempak bawakan Lin Ariffin untuk memberi inspirasi kepada wanita lain tentang bagaimana dia sebagai ibu yang bekerja membahagikan masa dengan keluarga dan dalam masa yang sama mendidik anaknya dengan nilai asas agama.
#1 Boleh cerita sedikit tentang karier sebagai personaliti radio? Apa yang membuatkan Lin menceburi bidang itu?
Saya tak pernah terfikir untuk menceburi bidang ni sebenarnya dan hanyalah kebetulan, saya sejujurnya lebih minat kepada pengacaraan dan penyampai berita tetapi itulah percaturan Allah lebih indah. Saya memang tak pernah terfikir untuk jadi penyampai radio sebab saya jujurnya merasakan suara dan kebolehan saya mungkin kurang atau tidak sesuai untuk radio. Dan sejujurnya tak berapa pandai atau kekok untuk bercakap seorang-seorang haha. Tapi bila ditawarkan peluang ini 4 tahun yang lepas saya terima sebagai cabaran dan untuk saya pelbagaikan bakat saya dalam bidang media ni dan akhirnya siapa sangka saya jatuh cinta di radio.
#2 Lin sering bercakap soal agama ketika di radio, apa yang Lin faham mengenai Islam menjaga kehormatan seorang wanita?
Islam sangat menjaga wanita, dalam Al-Quran Surah An-Nisa’ pun banyak bercakap mengenai wanita. Sebelum kedatangan Islam, wanita menjadi warga kelas kedua di setiap tamadun dunia dan dianggap sebagai objek pemuas nafsu semata-mata.
Datangnya Islam mengubah martabat seorang wanita. Kemuliaan dan hak wanita diangkat tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat sama ada golongan kaya mahupun miskin, bangsawan mahupun tidak.
Setiap wanita dianggap berharga hanya kerana mereka diciptakan sebagai wanita.
Wanita adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Ia adalah kedudukan istimewa yang diberikan Islam terhadap wanita. Kedudukan dan fungsinya mendapat penghargaan dan dihargai semenjak pertama kali lahir ke bumi.
Selain menjamin hak-hak perempuan, Islam pun menjaga kaum perempuan ini dari segala hal yang dapat menodai kehormatannya, menjatuhkan wibawa dan merendahkan martabatnya. Bagai mutiara yang mahal harganya, Islam menempatkan perempuan sebagai makhluk yang mulia yang harus dijaga. Asas kehormatan seorang wanita yang digariskan oleh Islam adalah aurat, sifat malu dalam pertuturan dan pergaulan serta memelihara kemaluan.
#3 Sebagai wanita yang bekerjaya, bagaimana Lin membahagikan masa antara kerja, keluarga dan peribadi?
Perlu tahu membahagi masa seperti adanya jadual dan “to-do” list setiap hari dan perlu ada support system yang baik. Kalau tak memang terasa penatnya. Me-time sangat penting untuk wanita untuk, dan “self-care” sangat penting untuk wanita yang menjadi tunjang keluarga. Jaga diri sendiri dahulu untuk menjaga ahli keluarga yang lain. Perlu tahu jaga amanah tubuh badan yang Allah beri ini.
#4 Lin seorang ibu muda kepada seorang anak lelaki. Apa antara kaedah Lin mendidik anak untuk menghormati dan menghargai wanita?
Lin mula beri pendidikan agama asas sejak umur dia kecil, dan dengan menunjuk contoh diri yang baik. Pendidikan mengenai adab, akhlak dan agama sangat penting kita tunjuk dan terapkan especially semasa anak-anak di bawah usia 7 tahun. Ketika inilah sistem kepercayaan anak dibentuk. Dan apa dia belajar serta lihat ketika ini, mereka senang “absorb”. Lin selalu juga beri peringatan pada suami untuk selalu tunjuk contoh yang baik ketika beliau menyantuni isteri, adik beradik perempuannya, ibu dan ibu mentua.
#5 Siapakah wanita yang paling Lin sayangi dan kenapa? Sememangnya ibu Lin, beliau mempunyai kekuatan luar biasa dan kesabaran yang sangat tinggi dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan anak. Tak dapat dizahirkan melalui kata-kata terlalu banyak pengorbanan ibu buat kami anak-anak. Agaknya dari situ juga Lin belajar menjadi wanita kuat.
#6 Apa makna Hari Wanita pada Lin? Hari Wanita Sedunia merupakan hari bagi menghargai dan mengiktiraf wanita seluruh dunia tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi sekalipun politik. Terlalu banyak kejayaan yang diperoleh wanita pada hari ini yang cukup membanggakan. Jadi wajar Lin rasa untuk kita ada hari istimewa ini, untuk meraikan wanita-wanita seluruh dunia.
#7 Berikan sedikit ucapan sempena Hari Wanita Wanita, insan yang berjiwa kental, yang penuh kesabaran. Benarlah tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia. Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia. Semoga berjaya di dunia dan di akhirat wahai wanita-wanita perhiasan dunia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live