HIBURAN
Jaga Imej & Prinsip, Anna Jobling Tidak Kisah Tolak Tawaran Produksi Indonesia - “Saya Tak Selesa Untuk Buat…”
Pelakon, Anna Jobling, mendedahkan bahawa dia terpaksa menolak satu tawaran berlakon dalam sebuah drama di Indonesia kerana terdapat adegan yang tidak sesuai dengan prinsipnya sebagai seorang pelakon.
Menurut Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 23, meskipun drama tersebut berunsur Islamik, terdapat beberapa babak yang baginya sukar diterima, khususnya oleh peminat di Malaysia.
"Drama ini untuk platform Over-The-Top (OTT) di Indonesia, tapi saya terpaksa tolak pada saat akhir sebab ada babak yang tak sesuai, malah saya juga tak selesa untuk melakonkannya. Jadi, mereka pun tak ambil saya untuk teruskan. Saya tak selesa untuk buat babak panas walaupun cerita ini berunsur Islamik.
“Bagi saya, babak diminta dilakonkan lebih daripada apa yang kita boleh terima sebagai orang Malaysia. Selepas tahu, sudah tentu saya tolak sebab tak selesa," kata Anna.
Pada masa sama, pelakon yang popular dengan drama Syurga Itu Bukan Mudah itu tidak merasa terkilan sekiranya tidak dapat menjayakan sesebuah projek sekiranya ia melanggar prinsipnya.
Malah, Anna turut menyatakan bahawa dia tetap berpengang teguh dengan pendiriannya meskipun menerima tawaran yang lumayan.
"Mereka boleh cari pelakon lain yang mahu bawa watak ini. Bagi saya, mungkin ada rezeki lain. Kalau tak dapat buat cerita ini, ada lagi rezeki lain di Malaysia.
“Itu bukan situasi sukar pun sebenarnya, saya fikir hanya bukan rezeki. Mereka sudah 'lock' saya awal, tapi ketika itu, skrip sedang disiapkan," ujarnya lagi.
Anna turut menegaskan bahawa setiap kali dia menerima tawaran berlakon di luar negara, dia meletakkan syarat yang ketat terutama dalam aspek pemakaian dan adegan yang perlu dilakonkan.
"Kalau jalani penggambaran di sana (Indonesia) memang saya ada tetapkan syarat seperti pakaian dan apa yang tidak boleh dilakukan.
“Mengenai pakaian saya beritahu tak boleh pakai bikini, hanya yang sopan dan tak terlalu nampak 'daring'.
“Pakaian kebiasaan saya pun tidak begitu, jadi untuk pakai masuk ke set tentulah saya tak selesa. Kalau setuju mereka akan ambil, kalau tak ambil tak mengapalah," tambahnya.
Anna Jobling ditemui pada majlis berbuka puasa bersama peminat di ibu negara baru-baru ini.
Must-Watch Video