“Jaga Mak Ayah Elok-Elok Ya” - Video TikTok Dengan Parents Guna Bahasa Isyarat Ini Undang Sebak!
Gara-gara membuat naik video bersama ibu bapanya di aplikasi TikTok, seorang pemuda terus menjadi tumpuan wargamaya.
Semuanya berlaku selepas mengetahui kedua-dua ibu bapa pemuda tersebut merupakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami masalah pekak dan bisu.
Menerusi beberapa video yang tular, Muhammad Zulhaikal Zailani dilihat banyak meluangkan masa berkomunikasi bersama ibu bapanya menggunakan bahasa isyarat.
“Walaupun kedua-dua mereka lain daripada yang lain tapi saya berbangga kerana mempunyai mak ayah yang begitu sayang dan membesarkan saya dengan baik.
“Hargailah mak ayah kita selagi masih ada,” katanya menerusi Mstar.
Jelas Zulhaikal, bapanya yang berusia 50 tahun bekerja di sebuah bengkel basikal manakala ibunya berusia 48 tahun merupakan suri rumah.
“Saya dan adik beradik lain dianugerahkan dengan fizikal yang sempurna tapi sentiasa berpegang pada nasihat mak ayah.
“Kegembiraan saya apabila melihat mereka tersenyum. Saya mahu masyarakat menghormati ibu bapa walaupun kurang bernasib baik,” katanya.
Sementara itu, rata-rata video yang dimuat naik oleh Zulhaikal dilihat mendapat respon yang sangat positif daripada netizen.
Malah, ramai yang mendoakan semoga keluarga Zulhaikal dilindungi dan dirahmati Allah SWT.