Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan premis nasi ayam claypot di Sri Petaling yang tular baru-baru ini disebabkan status halalnya adalah bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Jakim menerusi akaun Facebook rasmi memaklumkan berdasarkan semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis itu bukan pemegang SPHM yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan.

“Ketika ini ditularkan melalui media sosial berkenaan dengan status halal sebuah premis makanan di Sri Petaling yang menggunakan Rice Wine dalam masakan.

“Isu ini telah menimbulkan keresahan di kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut.

“Berdasarkan kepada semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah dan pihak JAKIM tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam hantaran yang sama, Jakim juga turut menasihatkan agar pengguna Muslim lebih berhati hati dalam memilih premis makanan.

“Pastikan premis yang dipilih merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah daripada Pihak Berkuasa Berwibawa Pensijilan Halal Malaysia.

“Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Rasmi Halal Malaysia di https://www.halal.gov.my/v4/.

“Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal,” maklumnya.

Terdahulu premis yang diusahakan oleh sepasang suami isteri Muslim tular di media sosial dan menerima ramai kunjungan.

Namun pendedahan beberapa individu mengenai bahan didakwa tidak halal digunakan pasangan itu telah menimbulkan keraguan masyarakat.

Difahamkan, premis berkenaan ketika ini sudah ditutup sementara susulan penularan isu berkenaan.