Mencuri Raden Saleh merupakan sebuah filem aksi heist terbaik Indonesia 2022. Sejak ditayangkan di negara itu pada 25 Ogos lalu sudahpun berjaya meraih kutipan 1.2 juta penonton dalam tempoh kurang seminggu sahaja.

Kini Mencuri Raden Saleh bakal menemui penonton di Malaysia bermula 22 September ini di pawagam seluruh negara.

Gempak turut berpeluang menyaksikan tayangan perdana filem ini. Selepas menontonnya, apa yang boleh dikatakan sangat puas dan seronok! Untuk itu, ini 5 sebab anda perlu serang pawagam dan saksikan Mencuri Raden Saleh:

1.Lakonan Grade A Barisan Pelakon

Bercerita tentang bakat yang ada pada barisan pelakon di dalam filem ini, itu tidak perlu dipersoalkan lagi. Mencuri Raden Saleh membariskan bakat muda yang luar biasa seperti Iqbaal Ramadhan, Angga Yunanda, Aghniny Haque, Rachel Amanda, Umay Shahab dan Ari Irham.

Kesemua mereka berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik sekali. Malah mereka tidak sekalipun kelihatan kekok dalam mendalami watak yang diberikan. Bakat lakonan yang dipersembahkan mereka selari dengan nama mereka yang kini sedang ‘hangat’ di pasaran industri Indonesia.

2.Jalan Cerita ‘Heist’ Yang Fresh

Sesuai dengan judulnya, Mencuri Raden Saleh mengisahkan jenayah kecurian berskala besar. Bagi yang meminati filem siri berkonsep jenayah rompakan seperti Money Heist dan Ocean 8 , ini adalah filem yang mempunyai idea yang sama diadaptasi ke filem Indonesia dengan lebih aksi dan jalan cerita yang lebih fresh yang pastinya anda tidak membosankan. Filem ini turut mengetahkan gaya kehidupan generasi muda pada masa kini.

3.Karakter Yang Bervariasi

Di dalam filem ini, anda akan melihat sekumpulan anak muda yang menggelarkan mereka sebagai ‘Komplotan’. Mereka terdiri daripada Piko, Ucup, Sarah, Fella, Tuktuk dan Gofar yang mempunyai peranan dan kelebihan masing-masing dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Setiap ahli ‘Komplotan’ menggunakan kelebihan yang ada untuk membalas dendam kepada pihak yang telah menindas dan menipu mereka.

4.Nilai Persahabatan

Biarpun pada dasarnya filem ini mengisahkan rompakan berskala besar, namun jika dilihat daripada sudut lainnya, kumpulan ‘Komplotan’ yang terdiri daripada enam anak muda itu mengajar penonton tentang betapa besarnya nilai persahabatan.

‘Komplotan’ sering bekerjasama dan mencari jalan pada setiap masalah yang mereka alami, tidak sekalipun yang menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya bekerjsama bagi memastikan semua ahlinya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

5.Skrip Yang Santai

Selain mempunyai jalan cerita yang segar dan sarat dengan babak mendebarkan, Mencuri Raden Saleh turut mempunyai keistimewaan lainnya apabila skrip-skrip yang digunakan dalam filem lebih santai dengan penonton masa kini. Tidak menggunakan bahasa-bahasa yang terlalu tinggi maknanya agar penonton lebih mudah untuk menghayati jalan ceritanya.

Sinopsis

Filem Mencuri Raden Saleh mengisahkan tentang enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza (The Painter, The Mastermind, The Brute, The Negotiator, The Handyman, The Driver) bergabung dan merancang untuk merompak sebuah lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa. Namun, misi mereka dikhianati dan mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad untuk membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan nama baik mereka.

Saksikan Mencuri Raden Saleh bermula 22 September ini di seluruh pawagam Malaysia dan turut mengikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.