Kepada yang menonton siri The Blacklist, sudah tentu anda mengenali pelakon utamanya, James Spader yang membawa watak Raymond Reddington atau Red.

The Blacklist yang kini memasuki musim kelapan pastinya memaparkan pelbagai kejutan yang tidak diduga kepada penonton.

Gempak berkesempatan menyertai temu bual eksklusif bersama Spader dan media antarabangsa menerusi panggilan konferens pada Sabtu.

Bercakap mengenai elemen kejutan dalam musim terbaharu ini, Spader akui elemen-elemen itu telah lama dibincangkan bersama penulis skrip siri berkenaan.

"Ya, musim terbaharu ini banyak kejutan, saya dan penulis telah berbincang mengenai apa yang akan kami lakukan dalam skrip lama dahulu, apa yang boleh saya katakan, kejutan akan lebih dirasai oleh para penonton berbanding saya," katanya kepada Super! Drama TV Japan.

Dalam pada itu, Spader juga berkongsi 'rahsia' mengenai kesukaran yang dihadapi sepanjang terlibat menjayakan semua musim The Blacklist.

"Salah satu daripada kesukaran yang saya hadapi adalah bangun pada awal pagi, ketika permulaan saya menjadi pelakon, saya berlakon pentas pada waktu malam dan terbiasa bekerja malam.

"Saya bukan jenis orang yang bangun pagi, sewaktu berlakon filem pun banyak babak dirakam pada waktu malam.

"Tiba-tiba, apabila memasuki lakonan TV, ketika pertama kali berkecimpung, saya sedar siri TV banyak melibatkan waktu siang dan jadual akan bermula awal pagi.

"Memang berbeza bekerja dengan jadual di mana jam loceng saya berbunyi sangat awal di waktu pagi, saya memang tak biasa dengannya," selorohnya menjawab soalan Gempak.

The Blacklist yang turut menampilkan Megan Boone, Harry Lennix dan ramai lagi disiarkan pada setiap Sabtu, pukul 10.40 malam di AXN (saluran 701 HD & 721).

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!