Laman Utama
“Jangan Bandingkan Vokal Saya Dengan Achik” – Tajul Sebak Nyanyi Lagu Arwah Abang
Penyanyi, Tajul akui berasa sebak sewaktu merakamkan semula lagu Malam Semakin Dingin yang pernah didendangkan oleh abang kesayangannya, Allahyarham Achik Spin.
Menurut Tajul, Afieq Shazwan yang juga merupakan rakan duet dalam lagu itu banyak membantu dirinya.
“Sejujurnya saya agak gementar juga bila FMC panggil untuk bincangkan tentang lagu ni, tetapi bila Mr. Ho cakap akan diduetkan dengan Afieq saya lega dan bersetuju.
“Lagu ini memang dah selalu saya nyanyikan dekat karaoke, saya akui memang mencabar juga untuk nyanyikan lagu ni sebab agak tinggi.
“Tetapi saya bersyukur kerana dapat berduet dengan Afieq yang sangat membantu dan memudahkan proses rakaman.
“Kami tak ambil masa yang lama untuk siapkan lagu ni. Sewaktu merakamkan lagu ni, jujur saya kata ada timbul rasa sebak dalam hati dan rindu dekat Achik.
“Walaupun sewaktu hayat Achik, kami tidak terlalu rapat kerana jarang berjumpa sebab Achik sibuk dengan kerjaya seninya.
“Namun apa pun saya bersyukur dan gembira kerana dapat nyanyikan semula lagu abang saya,” jelasnya.
Dalam pada itu juga, Tajul meminta supaya tidak membanding vokalnya dengan arwah Achik.
“Cuma jangan bandingkan vokal saya dengan Achik, walaupun kami adik beradik tentunya cara nyanyian dan kemampuan vokal kami berbeza. Apa pun saya memang sangat mengagumi vocal Achik,” tegasnya.
Malam Semakin Dingin yang merupakan duet Tajul dan Afieq Shazwan ini mula di lancarkan di YouTube FMC Music sejak 15 September lalu.
Lagu ini juga boleh di dengar di semua platform digital seperti Joox, Spotify dan sebagainya mulai semalam, 16 September 2021.
Terdahulu, Malam Semakin Dingin ini tiba-tiba hangat di media sosial dan banyak permintaan yang mahukan Tajul menyanyikan semula lagu tersebut.
Malam Semakin Dingin merupakan lagu ciptaan Aiman dan Lukhman S yang diberikan nafas baru ini tentunya akan mengimbau kembali kenangan dan kerinduan pada Achik dan kumpulan Spin.
Must-Watch Video