Sekilas
- Pelakon Jazmy Juma yakin penonton masih menyokong drama Dua Nyawa walaupun ada kontroversi melibatkan pelakon lain.
- Jazmy memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana kes tersebut sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
- Jazmy berharap penonton dapat mengambil pengajaran daripada mesej yang disampaikan dalam drama terbaharu Wali Dalam Tangisan di Viu.
Pelakon Jazmy Juma berpendapat penonton tetap memberi sokongan terhadap drama lakonannya iaitu Dua Nyawa biarpun berdepan kontroversi melibatkan dua pelakon lain dalam karya tersebut.
Jazmy, bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut memandangkan kes berkenaan sudah pun berada dalam siasatan pihak berkuasa.
“Saya tak rasa orang boikot, Insya-Allah. Ini ketentuan Illahi. Dia yang menentukan perjalanan ini dan menjadikan benda yang jadi sekarang ini.
“Tapi kalau benda lain, saya tak boleh nak ulaslah sebab benda dah melibatkan pihak polis,” katanya kepada Gempak pada sidang media drama Viu Original terbaharu, Wali Dalam Tangisan, pada Rabu.
Dalam masa sama, pelakon drama berusia 28 tahun itu berharap penonton dapat mengambil iktibar daripada mesej yang cuba disampaikan menerusi jalan cerita drama berkenaan.
“Untuk setiap drama yang saya buat, harapan saya orang dapat intipati sama ada kecil atau besar. Dalam drama itu pun banyak juga pengajarannya,” ujarnya lagi.
Untuk perkembangan lain, Jazmy bergandingan dengan Ezzanie Jasny dan Haidar Hasanudin menerusi drama Wali Dalam Tangisan yang sudah mula ditayangkan sejak 19 November lalu menerusi platform Viu.