Gaya Hidup
"Jangan Cakap Sedekah, Nanti Mereka Segan Nak Ambil..." - Mila Jirin
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia dan kini menjadi usahawan, Mila Jirin sememangnya sering diketahui suka membantu.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung menyebabkan perniagaannya terjejas, Mila tidak berdiam diri malah mengubah perniagaan kepada menjual kek kerana tidak mahu pekerjanya hilang punca pendapatan.
Bukan sekadar menjual kek, Mila turut berusaha dengan cara lain seperti menjual durian demi membayar gaji pekerja-pekerjanya.
Wanita kecil molek tetapi penuh dengan sifat mulia ini tidak hanya memikirkan perniagaannya tetapi juga mementingkan kebajikan pekerja-pekerja di syarikatnya.
Terbaru, Mila juga berkongsi kisah mengenai sedekah dan hadiah di Instagram miliknya apabila dia berkunjung ke negeri yang digelar Serambi Mekah, iaitu Kelantan.
"Kelmarin sempat singgah makan di Restoran Cikgu Ulam di Kelantan. Walaupun tak pandai makan ulam, makan ayam je. Ok bukan pasai ulam tu yang nak diceritakan, tetapi lepas makan Nasi Ulam tu, saya tengok ada kakak ni meniaga Rojak Buah (Sedap Kuah Rojaknya) siap letak Udang Kering Thailand.
"Dek sebab keterujaan melihat kuah rojak hitam pekat melekat tu, saya minta akak ni letak lebih sikit, ditambah sikit, mintak tambah lagi sambil saya cakap tak apa kak saya bayar kuah extra," tulis Mila.
Menurut Mila, dia membeli dua bungkus dan mahu membayar kepada penjual tersebut pada harga lebih memandangkan dia meminta kuah yang lebih.
"Saya beli 2 bungkus, ditanya harga berapa? Akak ni cakap sebungkus 5 rial. Saya tanya 'Kuah Extra tadi kak tak kira?' Akak ni geleng kepala tanda tak perlu.
"Saya memang sedang pegang RM20. Dibagi pada akak ni dan saya cakap, kak lagi RM10 ni simpan. Akak ni cakap 'tok se dik' sambil geleng-geleng. Saya cakap tak apa kak, Saya bagi hadiah pada akak, terus akak ni tak menolak lagi," tulis Mila lagi.
Menurut Mila, bukan nilai RM10 yang mahu diketengahkan tetapi sebagai usahawan, jika ingin berjaya jangan lokek untuk membantu usahawan kecil.
"Bila beli di kedai tepi jalan, sentiasa ajar diri untuk bagi lebih sikit pada mereka dan sentiasa sebut SAYA HADIAHKAN (niat dalam hati, moga dapat hadirkan sedikit kegembiraan buat si penjual tadi). Jangan lah cakap saya SEDEKAH nanti mereka segan segan nak ambil.
"Bayangkan, bila kita SERING bahagiakan orang? Insya Allah, ALLAH beri kebahagian buat kita berlipat kali ganda," kongsi Mila.
Tambah Mila lagi, dia berharap selepas ini lebih ramai yang dapat membantu peniaga-peniaga kecil dengan 'memberi' lebih dan sama-sama menikmati kebahagiaan.
Must-Watch Video